Sunday, February 1, 2009

PROGRAM KECEMERLANGAN 100%, MINIMUM 4A DAN CGPA 5.0...program yang sangat berjaya dan efektif!!

Maaf tuan blog, terlewat dua hari. Kesibukan kerja..macam biasalah. Ingatkan nak sambung cerita tapi nantilah dulu ye. Lagipun laporan Program 100% Cemerlang agak saya lebih penting daripada yang lain-lain. Jadi kita beri laluan pada laporan program ni lah dulu ye.

PROGRAM ini bolehlah saya anggap BERJAYA. Syabas kepada semua terutama bos besar kita, tuan pengetua yang bersungguh-sungguh benar menjayakan program ini. Saya terharu juga bila Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tuan Haji Zubir Embong memeluk pengetua. Bukan senang dia nak peluk orang, selain daripada menyambut orang balik dari Tanah Suci, rasanya sangat terhad rasa nak peluk ni kecuali apabila kita sangat menghargai sesuatu. Hj. Zubir kelihatan sangat menghargai respon audien yang mendengar ceramah beliau. Rasa terharu tergambar jelas di wajahnya apabila kutipan derma kilat yang dilancarkan sendiri olehnya telah mencecah sebanyak RM 2240.40!! Dalam masa hanya beberapa minit sahaja, kutipan sebanyak itu dapat dibuat. Orang yang membuat kutipan, Cikgu Wahabpun nampak terkejut dan hairan dengan sambutan daripada ibu bapa. Hal ini menandakan audien mendapat sesuatu daripada penyampaian ceramah beliau. Saya sendiripun tak menjangka kutipan sebanyak itu dapat dibuat. Paling-paling banyakpun saya jangka dalam 500 - 600 ratus ringgit sahaja. Tetapi bila angkanya mencapai lebih dua ribu, ini sudah cukup baik!!

Apapun program yang kita rancang dan buat yang melibatkan ibu bapa, kehadiran amat memuaskan. Sebulan tahun ini berlalu, kita telah memanggil beberapa kali pertemuan dengan ibu bapa. Setiap pertemuan kehadiran hampir-hampir 100 peratus. Ibu bapa sanggup hadir walaupun terpaksa menahan malu akibat kesalahan disiplin yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Dan lagi, setiap pertemuan mesti ada jamuan hebat. Saya bukan nak memuji tak tentu pasal, pengetua kita memang sangat mengambil berat akan hal ini. Ibu bapa hadir mesti kena sajikan makanan. Makanan mesti first class. Tambahan lagi dengan kontraktor baru dewan makan yang memang teror dalam hal masakan. Kalau tak percaya ajaklah PK HEM atau Ketua Warden ke asrama sekali-sekala. Cuba jamah hidangan untuk para pelajar. Memang sedap. Cubalah pergi.

Sorry sekali lagi tuan blog..bukan membebel ini, bukan juga 'melayur' sesiapa. Tak ada masa nak buat itu semua. Banyak lagi kerja lain yang boleh saya buat kalau setakat nak membodek di sini. Bila saya tulis, itulah dia. Memang ikhlas tu. Bukan niat nak melayur atau membodek. Semua orang boleh tenguk apa yang berlaku pada Sabtu 31 Januari 2009 lalu. Semua orang boleh buat penilaian sendiri. Ibu bapa melimpah-ruah datang. Ada yang sebelum subuh dah bertolak. Yang duduk di Kemaman tu. Ada yang datang satu keluarga, mak ayah, adik kakak, sampai atukpun datang. Guru-guru kitapun bukan main bersemangat lagi bila tenguk ibu bapa ramai yang hadir. Dari kejauhan, saya terharu sungguh bila melihat dua orang guru kita yang masih melayan ibu bapa walaupun majlis telah lama tamat. Orang lain semua ke dewan makan Aspuri, tapi dua orang guru kita ni bersungguh-sungguh menjelaskan prestasi akademik pelajar kepada ibu bapa mereka. Nak sebut ke nama...kalau dalam mesyuarat mesti sibuk.." sebut nama!! sebut nama!!"
Ustazah Fauziah dan Puan Hartini. Haa...dah sebutpun nama tu..Saya 'tabik tarik' pada dua orang guru kita ni. Saya kagum dan bangga dengan semangat mereka. Takpe...saya bukan memuji tak tentu pasal. Yang betul. Biarlah tuan pengetua tak puji, saya nak puji guru kita kali ni. Saya sangat terharu dengan kerja-kerja yang mereka buat. Ibu bapa memang berpuas hati. Syabas..guru-guru SMTB!!

Yang paling unik ialah terdapat pemuafakatan yang bernilai tinggi di dalam majlis ini. Ataupun persepakatan..perkataan ni PK HEM suka sangat. Sayapun hairan kenapa dia tak guna permuafakatan. Tak apalah, muafakat atau sepakat lebih kurang sama saja matlamatnya. Majoriti ibu bapa menunjukkan semangat muafakat dan persefahaman yang tinggi mengatasi batas-batas kedaerahan dan politik. Memang profesional apabila Ahli Parlimen Machang, YB Saifudin Nasution menyambut baik pelawaan Hj Zubir untuk menjadi ketua ibu bapa semasa melafazkan kata-kata semangat kepada anak-anak. Kita dapat lihat bagaimana pendidikan sebagai wadah perjuangan dapat menyatukan minda dan emosi manusia. Itulah dia keikhlasan dalam pendidikan. Apabila matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman dan berakhlak mulia diberi keutamaan paling tinggi, semua manusia tidak mengira fahaman apapun akan bersatu dalam fikrah dan tindakan. Sekali lagi syabassss...SMTB kerana berjaya mengadakan majlis profesional seperti ini.

Tuan Haji Zubir Embong memang sudah biasa dikenali sebagai pentadbir dan pengurus akademik yang berwibawa di seluruh negeri Terengganu. Banyak program yang dirancang mendatangkan hasil yang cemerlang. Ceramah beliau tentang peranan dan fungsi ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak di dalam pendidikan mendatangkan kesan yang mendalam di dalam jiwa ibu bapa. Saya tersenyum apabila mendengar komen ibu bapa. "..bagus ceramah dia..bolehlah kira, tak rugi kita mari jauh-jauh.." Kalau ibu bapa boleh kata macam tu, itu bermakna sesuatu yang baik telah melekat di dalam hati dan perasaannya.

Akhirnya, saya sebagai pengulas bebas program ini sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang bertungkus-lumus dan berkerja keras bagi menjayakan program ini, terutama tuan pengetua kita, Haji Abdullah Zawawi Bin Yahya. Syabas!! tuan di atas landasan sekarang, teruskan bergerak ke hadapan dengan jayanya!!

No comments: