Saturday, November 21, 2009

SPM 2009 bermula..maka bermulalah perjuangan anak-anakku di SMTB

BANJIR MULA MELANDA!!!
Peperiksaan SPM sudah bermula. Sejak Rabu 18 November, para pelajar tingkatan 5 SMTB mula menghadapi peperiksaan SPM dengan kertas Bahasa Melayu 1 & 2 dan Sejarah 1. Khamis 19 November, mereka bergelut pula dengan kertas Bahasa Inggeris dan Sejarah 2. Hari ini mereka berehat dan esok sambung semula dengan subjek2 yang makin mencabar. Oleh kerana keadaan hujan yang berterusan, dijangkakan banjir akan melanda di kawasan2 rendah. Para pelajar telah dinasihati agar mengikut segala prosedur dan arahan ketika banjir. Mereka yang berada di kawasan2 yang mudah dinaiki air disarankan bersiap sedia dengan semua peralatan agar mudah dibantu untuk berpindah. Sekolah akan menjadi 'rumah' mereka buat sementara. Semua pelajar tingkatan 5 mesti melaporkan diri ke sekolah bila amaran banjir diumumkan. Jawatankuasa Khas Bencana Alam : Banjir telah awal2 lagi diminta bersiap sedia untuk mengatur segala perancangan menghadapi banjir. BILIK GERAKAN BANJIR telah mula beroperasi untuk mengesan para pelajar yang berada di dalam kawasan banjir. Perkara paling utama ketika banjir besar melanda ialah menyediakan tempat yang selamat bagi semua pelajar tingkatan 5 dan sekolah akan menjadi tempat pemindahan mangsa banjir.


Friday, November 6, 2009

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR, CERAMAH MOTIVASI KEIBUBAPAAN DAN MAJLIS RESTU ILMU..begitulah kehendak Tuhan

Khamis, 5 Nov 2009

Tepat jam 7.30 pagi hujan masih turun renyai-renyai dan suasana masih muram, tidak kelihatan langsung tanda-tanda bahawa SM Teknik Besut hari ini akan berlangsung 4 program penting yang merupakan program kemuncak bagi tahun ini. Pukul 7.40, kedengaran pengumuman meminta para pelajar berhimpun di tempat perhimpunan pagi. Semua pelajar bergerak ke tempat perhimpunan dan dalam masa yang singkat mereka telah beratur mengikut kelas masing-masing.
PK HEM memberi taklimat akhir mengenai program yang akan berlangsung dan meminta para pelajar menjaga tingkahlaku dan budi pekerti masing-masing. " Hari ini sekolah kita akan menerima kunjungan para ibu bapa dan penjaga awak semua. Jadi, macam biasa cubalah kawal diri agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan maruah sekolah. Para Pelajar tingkatan 4 akan berada di Dewan Makan Asrama Putra dan mengikuti program yang akan dikendalikan oleh kaunselor sekolah, Cikgu Azhar manakala para pelajar tingkatan 5 akan menanti kedatangan ibu bapa masing-masing dan menjemput mereka untuk masuk ke Dewan Besar." Begitulah lebih kurang arahan PK HEM kepada para pelajar.
Kemudian PK 1, YM Raja Ismail Raja Kechik memberi beberapa taklimat tentang program akademik untuk para pelajar tingkatan 5. Belumpun sempat beliau menghabiskan taklimat, hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya dan para pelajar diminta ke dewan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila hujan terus menerus turun. Tiada kelibat seorangpun ibu bapa yang hadir dan kita menjangkakan hari ini dewan akan dipenuhi oleh para pelajar saja.
Jam menunjukkan pukul 8.30 pagi dan dengan kudrat Allah SWT, hujan tiba-tiba berhenti. Saya melihat tanda-tanda kegirangan di wajah PK HEM. Beliau memang bersungguh-sungguh menjemput ibu bapa hadir dan dua tiga hari lepas, dengan penuh keyakinan beliau menyatakan majoriti ibu bapa yang dijemput akan hadir pada hari ini. Tetapi pagi tadi, sebaik beliau turun daripada kereta kancilnya, wajahnya tidak ceria..beliau menundukkan mukanya dan terpegun..seolah-olah berdoa agar hujan berhenti sekejap dan pintu hati ibu bapa terbuka untuk hadir ke sekolah.
Dengan kehendak Allah SWT, cuaca yang mendung dan hujan sebentar tadi tiba-tiba telah bertukar corak. Sinar kecerahan dan hujan telah berhenti dan dalam masa setengah jam iaitu di antara pukul 8.30 hingga 9.00 pagi, ibu bapa telah berduyun-duyun memasuki pintu pagar sekolah. Saya tenguk PK HEMlah orang yang paling gembira. Dengan rajinnya, beliau dan Hj. Zainol sendiri telah menerima kehadiran dan bersalam-salaman dengan ibu bapa di pintu pagar sekolah. Pembesar suara yang dipikul di bahu kanannya kelihatan senget nak jatuh. Beliau sibuk mengumumkan nama anak-anak yang ibu bapanya datang. Hujan turun tapi tak lebat, manakala ibu bapa terus bertali arus memasuki kawasan sekolah. Pengawas-pengawas yang bertugas kelihatan semakin bersungguh-sungguh menerima dan menjemput ibu bapa memasuki dewan setelah membuat pendaftaran. Guru-guru sibuk menguruskan dewan dan membuat persiapan terakhir untuk majlis pertama iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Hj. Marzuki yang tidak menjangkakan begitu ramai ibu bapa hadir terpaksa bertungkus lumus menambah bilangan kerusi bersama-sama pengawas bertugas. Barisan kerusi disusun sehingga rapat ke bahagian belakang dewan.
PK HEM dan PK 1 masih menunggu isyarat untuk menelefon Tuan Pengetua dan YDP PIBG untuk datang ke dewan. Tiada jemputan khas di dalam majlis kali ini. Tiada wakil PPD atau JPN. Hanya YM. YDP PIBG sahaja dijemput sebagai tetamu khas. 15 minit kemudian, kelihatan PK HEM mengumumkan bahawa majlis akan bermula sebentar lagi dan para ibu bapa dijemput masuk ke dewan dan memenuhi kerusi di bahagian hadapan. Setelah pengetua dan YDP PIBG hadir ke dewan dan mengambil tempat duduk masing2 di pentas, kelihatan PK HEM memberi isyarat kepada pengacara-pengacara majlis untuk memulakan majlis. Dua orang guru pengacara majlis iaitu Puan Mariati Warimin dan Puan Noriza Mohamed siap menjalankan tugas dengan jayanya.
Pengetua memulakan ucapan setelah bacaan doa. Beliau mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa dan penjaga pelajar ke sekolah dan melahirkan rasa terharunya dengan sambutan yang di luar dugaan. 400 orang ibu bapa yang hadir ialah jumlah yang sangat memberangsangkan dalam keadaan cuaca musim tengkujuh. Hal ini menunjukkan petanda yang sangat baik. Petanda bahawa ibu bapa amat perihatin dan ingin memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak sekolah bagi memastikan kejayaan anak-anak mereka di dalam peperiksaan SPM nanti.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar bermula dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang berjaya mengikut bilangan A semasa peperiksaan percubaan 2009. Dua orang pelajar terbaik iaitu Hafidzah Binti Rameli dan Qurrata Ayuni Nasution Binti Saifuddin telah berjaya memperolehi pencapaian 7A di dalam Peperiksaan Percubaan.
PK HEM yang berada di foyer Dewan Besar kelihatan menyambut ketibaan penceramah undangan iaitu Tuan Haji Ahmad Termizi Bin Haji Musa dan mengiringi beliau memasuki dewan dan naik ke pentas. Tuan Hj. Ahmad Termizi kemudiannya terus memulakan ceramah motivasi keibubapaan dan mengambil masa selama hampir 2 jam untuk memberikan ceramah dengan penuh bersemangat dan sarat dengan ilmu. Hampir 2 jam beliau telah memukau para ibu bapa dan guru dengan pelbagai cerita suka duka di dalam pendidikan dan peranannya sebagai seorang bapa yang sangat mengambil berat dalam soal pendidikan anak-anak. Beliau tidak memerlukan sebarang alat pandang dengar atau LCD semasa ceramahnya. Paling unik, apabila di penghujung ceramahnya, beliau telah membaca sebuah puisi yang sebenarnya sebuah lagu. Lagu puisi tanpa muzik sangat mengharukan perasaan. Ramai ibu bapa dan guru mengesat air mata apabila selesai dendangannya.
Seterusnya ( bersambung )