Saturday, January 30, 2010

HARI PENDAFTARAN DAN KEMASUKAN PELAJAR-PELAJAR BARU TINGKATAN 4 SESI 2010...meriah tapi tidak seperti biasa

Tuan Pengetua sedang memberi ucapan perasmian. Kelihatan di dalam gambar, YDP PIBG dan PK1 YM Raja Ismail Raja Kechik
25 Jan 2010 yang lalu, proses kemasukan pelajar-pelajar baru tingkatan 4 berjalan lancar. Sebagaimana yang dijangka, hanya 60 - 70 peratus sahaja pelajar-pelajar yang ditawarkan hadir untuk mendaftar. Semua jawatankuasa yang terlibat telah menjalankan tugas dengan jayanya. Sebagaimana biasa, Tuan Haji Abdullah Zawawi, pengetua sekolah telah mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa dan pelajar-pelajar baru. Majlis perasmian berjalan lancar. Dalam ucapan perasmiannya tuan pengetua telah memperkenalkan Sekolah Menengah Teknik Besut dan dasar-dasar utama sekolah. Selepas ucapan beliau YDP PIBG YM Engku pula tampil untuk menyatakan beberapa perkara yang bersangkutan dengan hubungan ibu bapa, guru dan pelajar. Beliau menyatakan bahawa hubungan antara ketiga-tiga komponen penting pendidikan itu perlu dimurnikan agar metlamat pendidikan dapat dicapai.

Ketua Bidang Vokasional En. Wahab Ismail...berhenti rehat

Sebelum itu, tepat jam 8.00 pagi, para ibu bapa kelihatan berpusu-pusu masuk ke kawasan sekolah. Mereka disambut mesra oleh jawatankuasa sambutan yang terdiri daripada para pengawas sekolah. Setelah mendapatkan angka giliran di foyer dewan, para ibu bapa dibawa masuk ke dalam dewan untuk proses pendaftaran mengikut kaunter-kaunter pendaftaran yang telah ditetapkan. Guru-guru kelas dan pembantu masing-masing telah ditempatkan di setiap kaunter pendaftaran mengikut pembahagian kelas. Pendaftaran telah berjalan lancar dan para ibu bapa tidak perlu menunggu lama untuk proses kemasukan. Semua halangan kecil telah berjaya diatasi. Kaunter Koperasi sekolah menerima kehadiran para ibu bapa dan pelajar baru untuk mengambil barang-barang yang telah disenaraikan di dalam borang pendaftaran. Mengikut kenyataan En. Wan Zakaria, guru koperasi, proses pembahagian barangan koperasi kepada para pelajar baru tidak menghadapi masalah besar. Para pelajar kemudiannya bergerak ke khemah pendaftaran asrama di gelanggang bola tampar. Para pelajar yang mendaftar untuk menduduki asrama telah dilayan oleh para exco dan jawatankuasa asrama. Mereka diberi tiket mengikut blok-blok dan bilik-bilik penginapan masing-masing. Kemudian ibu bapa dan pelajar baru bergerak masuk semula ke dewan untuk majlis perasmian.

orang kuat UPK (Unit Pendaftaran dan Kemasukan ) En. Azman Zakaria dan En. Hazimi

Saturday, January 23, 2010

MENJELANG MINGGU KETIGA SESI PERSEKOLAHAN 2010...kita menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru tingkatan 4




Mohd. Zurkarni mengetuai barisan pengawas sesi 2010 membaca ikrar pengawas


Minggu pertama dan kedua bulan Januari 2010 telah berlalu. Selama dua minggu itu, kelendar sekolah sangat padat dengan perancangan dan penyelarasan pelbagai agenda pendidikan untuk memastikan proses pendidikan di SMTB berjalan dengan lancar dan berkesan. Deretan mesyuarat demi mesyuarat, pagi petang, siang dan malam tidak henti-henti semata-mata untuk memastikan segala perancangan yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan teratur. Minggu pertama, kita telah berjaya melancarkan Program Orientasi Pelajar-Pelajar Tingkatan 5 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jan. Pelbagai program untuk menyesuaikan diri pelajar dan menyediakan mereka dengan proses P&P. Pendedahan demi pendedahan dalam semua mata pelajaran telah diadakan bagi memantapkan proses pemahaman. Minggu kedua, 10 Januari, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas yang disempurnakan oleh SUPT. Haji Kamaruddin Zakaria, Ketua Polis daerah Besut. Majlis berjalan lancar dan meriah. Majlis diakhiri dengan ceramah oleh Tuan Haji Zakaria setelah bacaan ikrar yang diketuai oleh Muhamad Zurkarni Mat Jid, Ketua Pengawas sesi 2010. Program Bubur Assyura juga berjaya dijalankan oleh para guru dan kakitangan sekolah.


Tahun ini proses kemasukan dan pendaftaran pelajar-pelajar tingkatan 4 akan berlangsung lebih awal daripada tahun lepas. 25 Januari ialah tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak BPTV untuk semua sekolah teknik seluruh negara menerima kemasukan pelajar-pelajar baru tingkatan 4. Setelah proses penerimaan kemasukan ditutup 4 Januari lalu, kita mendapati masih terdapat ramai lagi para pelajar tingkatan 4 yang tidak berkesempatan untuk membuat pendaftaran secara online. Oleh hal yang demikian, pada minggu kedua, setelah mendapat mandat daripada Tuan Pengetua dan Jawatankuasa Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar, pasukan 'outreach' sekolah yang diketuai oleh para kaunselor sekolah beberapa orang guru dari UPP telah keluar ke sekolah-sekolah yang berdekatan dan sekolah-sekolah yang telah membuat tempahan untuk menawarkan sejumlah pelajar yang tercicir daripada pendaftaran online. Walau bagaimanapun mengikut tuan pengetua, para pelajar tercicir pendaftaran ini hanya akan dipertimbangkan untuk kemasukan kedua (second intake) setelah para pelajar yang menerima tawaran kemasukan first intake diproses. PK HEM dan ahli-ahli jawatankuasa UPP yang diketuai oleh Tuan Haji Abd. Rahim Mat, En. Azman Zakaria dan En. Abd. Aziz Abd. Hamed bertungkus-lumus membuat perancangan dan penyelarasan data-data kemasukan. Dengan bantuan pakar komputer dan internet sekolah, En. Hazimi Mohd Zawawi, senarai pelajar tawaran pertama telah berjaya didownload terus dan diterbitkan. BPTV telah mengeluarkan senarai pelajar tingkatan 4 yang berjaya pada 16 Jan dan kita hanya ada masa beberapa hari sahaja untuk membuat proses penyelarasan data dan bahan mentah untuk dikirimkan kepada para pelajar yang berjaya. Sementara itu, kita juga telah berjaya mengendalikan proses temuduga kemasukan bagi para pelajar SKM yang berlangsung pada 18 Januari 2010. Seramai 180 surat tawaran telah dihantar dan pada hari temuduga, kehadiran para pelajar yang ingin belajar di aliran kemahiran sangat menggalakkan. Penyelaras SKM, En. Jailudin Ismail telah berjaya mengendalikan proses temuduga tersebut dengan jayanya. Para pelajar aliran kemahiran juga akan diterima masuk pada 25 Januari.


Sabtu, 23 Januari ialah hari persekolahan bagi menggantikan hari cuti Tahun Baru Cina. Majlis Tindakan Disiplin (MTD) yang diketuai oleh Penyelarasnya En. Che Zahari Bin Hamzah telah memohon kebenaran daripada PK HEM dan diluluskan oleh Tuan Pengetua untuk mengadakan Kursus Pemantapan Pengurusan Disiplin Sekolah bagi semua guru SMTB. Pada hari yang sama juga ketiga-tiga kaunselor sekolah, Puan Norliza, En. Mohd. Azhar dan Cik Nur Aisyah telah menjayakan Program Asas Kemahiran Belajar bagi semua pelajar tingkatan 5.

Thursday, January 7, 2010

'Winning Mind' dan Konsep Kecemerlangan Minda

Pengetua SMTB, Tuan Haji Abdullah Zawawi bin Haji Yahya telah mengemukakan dorongan baru kepada para pelajar sesi 2010 dengan Konsep Kecemerlangan Minda : Winning Mind. Beliau telah memberi ucapan sulungnya sewaktu perhimpunan mingguan pertama sekolah bagi sesi 2010 pada 3 Januari lalu. Semua pelajar perlu mempunyai semangat ingin berjaya dan dapat mengasah minda berjaya sehingga dapat membina kekuatan pemikiran bagi menghadapi cabaran dalam pembelajaran. Tanpa ada rasa ingin berjaya dan ingin menjadi pelajar cemerlang, seseorang pelajar itu tidak dapat menghayati matlamat dan tujuan sebenar mereka hadir ke sekolah. Utk apa mereka datang ke sekolah jika hanya ingin lulus cukup makan sahaja. Mereka tidak ada semangat juang untuk meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Pengetua seterusnya memberi semangat baru kepada para pelajar dengan mendorong mereka utk memulakan sesi baru pengajian 2010 dengan rasa gembira ke sekolah dan menganggap sekolah sebagai rumah kedua.
Begitulah pengetua SMTB, seorang yang sentiasa optimis dan pro aktif. Ucapannya penuh dengan semangat dan idea baru. Beliau tidak pernah kecewa untuk terus memberi motivasi pelbagai arah kepada semua pelajar. Beliau banyak idea dan sentiasa tampil dengan pelbagai pemikiran dan konsep baru untuk dipaktikkan oleh para pelajar. Semangat memberi ucapan tidak pernah kendur. Ucapan dan taklimatnya kepada para pelajar sentiasa segar dan memerlukan masa yag lama. Tuan Haji Abdullah dengan konsep 'winning mind' nya diharap akan dapat terus membangunkan sekolah dengan tekad dan azam baru agar matlamat untuk membawa perubahan dan meningkatkan prestasi akademik pelajar akan tercapai.

Sunday, January 3, 2010

2010 MEMBUKA TIRAI TAHUN BARU DENGAN KEAZAMAN BARU..benarkah?

Ahad,3 Januari 2010

Tepat jam 7.30 pagi, nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri dan lagu Sekolah berkumandang di segenap ruang Dewan Besar SMTB. Nampak semangat para pelajar tingkatan 5 sesi 2010 begitu membara dengan kekuatan baru bagi menghadapi sesi persekolahan 2010. Kemudian doa dibaca oleh Tuan Haji Dzulkifli Hassan, Ketua Bidang Kemanusiaan, memohon kesejahteraan dan keberkatan Allah SWT agar tahun baru dan sesi baru ini dapat membawa perubahan baru bagi semua warga SMTB. Majoriti pelajar Tingkatan 5 hadir walaupun ada segelintir yang datang lewat berkemungkinan hujan lebat di tengah jalan. Mengikut laporan warden, seramai lebih drp 200 orang pelajar asrama telah mendaftar diri untuk masuk asrama petang semalam dengan ditemani oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Beberapa orang guru telah tampil untuk membuat pengumuman. En. Azman Zakaria sebagai Ketua Guru Bertugas Mingguan telah mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar tingkatan 5 dan harapan agar mereka muncul semula untuk sesi ini dengan wajah baru dan penampilan yg ceria. Penolong Kanan KoKurikulum Puan Hajah Sabariah Awang Mat kemudian telah memberi taklimat tentang perjalanan kegiatan kokurikulum secara ringkas dan memaklumkan betapa pentingnya konsep pemarkahan koko difahami oleh semua pelajar. Selepas itu, Penolong Kanan HEM, Hj Mohd Affandi Abd Rahman telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan selamat datang kepada semua guru dan pelajar. Beliau telah memberikan senarai nama jawatankuasa guru yang baru menganggotai Majlis Tindakan Disiplin. En. Ibrahim Awang telah dilantik menjadi Penolong Penyelaras bagi badan disiplin manakala En. Wan Mohd Zulfakri Wan Bakar dan En. Amir Mohd memegang jawatan penting iaitu Ketua Guru Disiplin 1 dan Ketua Guru Disiplin 2. Mereka dibantu oleh 4 orang Penolong Ketua Guru Disiplin yang semuanya muka-muka baru iaitu En. Mohd Nazri Mat Nasir, En. Mohd Asru Suhaimi Sulaiman, En. Jailudin Ismail dan En. Ramli Jusoh.