Tuesday, February 10, 2009

FASA KEDUA PROSES KEMASUKAN PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 4 SESI 2009 BERJALAN LANCAR!!

Berita baik dari Unit Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar (UPK) - Surat tawaran kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 4 bagi mengikuti kursus-kursus aliran teknikal dan vokasional sesi 2009, telah siap dihantar. Guru Data yang menjadi orang kuat UPK, En. Abd Aziz Hamed menyatakan bahawa sebanyak 480 surat tawaran telahpun selamat dihantar jam 4.45 petang 9 Februari 2009. Manakala selebihnya sebanyak antara 100 - 120 surat temuduga tawaran bagi pelajar pelajar-pelajar aliran kemahiran akan dihantar selewatnya hujung minggu ini. Bagi aliran kemahiran, sebelum pelajar-pelajar diterima masuk, proses temuduga akan dijalankan bagi memilih pelajar-pelajar yang benar-benar layak dan berminat. Haji Marzuki Abdullah, Ketua Bidang Sains merangkap Penyelaras UPK memaklumkan bahawa hari temuduga bagi pelajar-pelajar aliran kemahiran akan diadakan sehari selepas hari pendaftaran pelajar-pelajar aliran teknik dan vokasional. Hal ini bermakna tarikh temuduga ialah pada 24 Februari 2009. Pelajar-pelajar yang memohon mengikuti kursus-kursus kemahiran akan menerima surat panggilan temuduga pada minggu hadapan.
PK HEM menyuarakan rasa gembiranya dengan kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa UPK serta guru-guru kelas tingkatan 4 sesi 2009. Tindakan cepat yang diambil oleh jawatankuasa UPK membolehkan pihak sekolah menghantar segera surat-surat tawaran kemasukan selepas sehari PK HEM bersama En. Abd. Aziz Hamed mengambil senarai kemasukan di Subang Jaya. Pada hujung minggu lepas, En. Abd. Aziz dan Hj. Affandi telah menghadiri Mesyuarat Penyerahan Tawaran Kemasukan yang dirasmikan oleh Pengarah BPTV iaitu Datuk Haji Yusof Harun di Hotel Summit USJ.
Penghantaran surat-surat tawaran kemasukan tersebut menandakan bahawa selesailah sudah Fasa 2 Proses Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar-pelajar ke SMT Besut bagi sesi pengajian 2009. Fasa 1 yang merangkumi kerja-kerja outreach telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh AJK UPK pada bulan Oktober dan November 2008. Fasa 3 akan bermula minggu depan. Fasa 3 ialah Operasi Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar yang akan dilaksanakan pada 23 Februari ini. Satu mesyuarat jawatankuasa bertindak UPK akan diadakan pada Ahad 15 Februari 2009. Mesyuarat ini amat penting bagi melicinkan perjalanan kerja-kerja operasi pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baru. Kita mengharapkan agar proses kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 4 tahun ini akan menjadi lebih cemerlang dan berjaya.

1 comment:

Unknown said...

skolh ni mmg truk.bab 2 skunk x rmai stdnt.rmai stdnt yg mnurun dlm akedmikl