Monday, October 20, 2008

FOKUS UTAMA OKTOBER 2008 : MENJELANG PEPERIKSAAN SPM

Isnin, 20 Oktober 2008 / 20 Syawal 1429H

SUASANA PEPERIKSAAN MENYELUBUNGI SELURUH SMTB
Perhimpunan pagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 seperti biasa berjalan dengan baik dan lancar. Suasana sambutan AidulFitri 1429 kian berlabuh dan kini DEMAM peperiksaan melanda dengan hebatnya seluruh perkarangan SMTB dan warga penghuninya. Pelajar-pelajar Tingkatan 5 bergelut hebat dengan persiapan terakhir untuk menghadapi Peperiksaan SPM November nanti, manakala pelajar-pelajar tingkatan 4 sedang menjalani Peperiksaan Akhir Tahun / OTI 2. Pelajar-pelajar SPM terus-menerus diberi peringatan, nasihat dan bimbingan agar serius dan meningkatkan komitmen masing-masing ke tahap paling maksimum. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir pelajar SPM yang langsung tidak berminat dan menunjukkan kesungguhan untuk menghadapi peperiksaan. Mereka bersantai dengan wajah selamba tanpa motivasi dan keinginan untuk berjaya. Mereka meneruskan tradisi bangun lambat dan merangkak perlahan-perlahan ke sekolah. Mereka ponteng kelas dan ponteng program intensif yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Jurucakap MTD melaporkan bahawa kegiatan mereka sedang dipantau dengan teliti. Mereka telah dikenalpasti dan tindakan segera akan diambil untuk memulihkan semula keadaan.

PERKEMBANGAN TERAKHIR ORGANISASI MTD

Jurucakap MTD diberitahu bahawa Ketua Guru Disiplin (KGD) merangkap Penyelaras 2 MTD telah dilantik untuk memangku jawatan nombor 3 iaitu PK HEM. Hal ini berlaku berikutan petukaran secara tiba-tiba PK HEM Puan Hajah Wan Kursiah Bte Awang ke SMK Seri Nering berkuatkuasa 3 Oktober 2008. Sebab-sebab pertukaran tidak diberitahu. Tetapi menurut jurucakap MTD, pertukaran di luar musim itu berlaku berkemungkinan besar berpunca daripada sebab-sebab dalaman pengurusan. Walau apapun yang berlaku, MTD sebagai organisasi penting sekolah telah menerima juga tempias kesan daripada isu tersebut. KGD ialah jawatan penting dalam penyelarasan dan pengendalian perjalanan disiplin sekolah. Jika PK HEM kosong dan KGD dipertanggungjawabkan untuk memikul tugas-tugas PK HEM sebagai pemangku jawatan, arah perjalanan dan percaturan disiplin sekolah juga akan berubah. KGD tidak akan mampu untuk mengendalikan dua jawatan penting itu sekaligus. Tugas-tugas KGD perlu diambilalih segera agar perjalanan disiplin lancar. Sekali imbas, seminggu dua ini, penyelenggaraan disiplin agak longgar, pelajar-pelajar asrama semacam tidak terkawal, datang lambat dan ponteng di asrama. Kita mengharapkan agar jawatan KGD diisi segera. Beberapa tokoh pimpinan MTD yang berkaliber yang selama ini giat menjalankan operasi disiplin awal-awal lagi menolak cadangan perlantikan. Jika tiada siapapun yang ingin memikul tugas KGD, kelancaran perjalanan disiplin sekolah akan terbantut. Kita mengharapkan agar Penyelaras 1 MTD, En. Che Zahari Hamzah sebagai orang lama dan perintis badan disiplin sekolah suatu ketika dahulu, dapat berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini.