Tuesday, February 24, 2009

HARI PENDAFTARAN DAN KEMASUKAN PELAJAR TINGKATAN 4 BAGI SESI 2009 : Tiada perubahan, macam biasa...

PROSES PENDAFTARAN PELAJAR-PELAJAR BARU TINGKATAN 4 SESI 2009 hari ini berjalan lancar. Cuma, jangkaan kita tentang arus perubahan yang mungkin melanda sekolah-sekolah menengah teknik, nampaknya meleset. Jumlah pendaftaran macam biasa, malah mengecewakan sedikit. Bilangan keseluruhan pelajar semua aliran yang mendaftar kurang daripada biasa. Hal ini bukan sahaja dirasai oleh sekolah kita, tetapi dapat dirasai oleh kebanyakan sekolah-sekolah menengah teknik di pantai timur. Melihat kepada wajah PK HEM, ternyata terdapat sedikit kekecewaan. Tapi apabila ditanya, dia seperti biasa pandai menyembunyikan rasa resah di wajahnya..."ok saja, biasalah...bukan kita tak pernah menghadapi hal seperti ni, setiap tahun, macam inilah keadaannya. Tapi, tak apa, kita ada rancangan, jangan bimbang. Borang rayuan masih ada dua fail penuh yang belum diproses." Selamba dia menjawab.
Pengetua nampak lebih ceria. Dia lebih yakin. Ucapannya semasa majlis pendaftaran tadi seperti biasa memberangsangkan! Ibu bapa berpuas hati dan tersenyum lebar apabila diumumkan tiada kutipan yuran yang akan dikenakan. Yang ada hanyalah bayaran makan asrama dan yuran takaful. Semuanya hanya RM 48.50 sahaja. Apa yang kita nampak tahun ini proses pendaftaran berjalan lancar dan licin. Kekalutan yang biasa berlaku di kaunter koperasi telah dapat diatasi dengan kaedah baru yang diperkenalkan. Jawatankuasa Koperasi telah membuka sebanyak 8 kaunter untuk urusan pembelian barang2 keperluan. Kawasan koperasi juga telah diwarta sebagai kawasan larangan. Hal ini menyebabkan kejadian2 yang tidak diingin seperti yang berlaku pada tahun lepas, telah dapat diatasi.
Esok, 24 Feb 2009, seramai 120 orang pelajar telah dipanggil untuk menghadiri proses temuduga bagi pengambilan aliran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Kita mengharapkan agar pelajar-pelajar yang telah menerima surat panggilan temuduga akan dapat datang tepat pada waktu yang telah ditentukan. Seramai 80 orang lagi akan menghadiri proses temuduga kali kedua yang akan dijalankan pada minggu depan. Jadi, keseluruhan pelajar aliran SKM yang dipanggil untuk temuduga ialah seramai 200 orang.

Sunday, February 22, 2009

KEM KEPIMPINAN PERDANA 2009 YANG SANGAT BERJAYA...

Jam hampir 3 pagi. Mata masih belum terlelap. Banyak yang difikirkan, entah apa-apa...
Baru tadi balik dari sekolah. Melihat persiapan untuk hari penting esok, HARI PENDAFTARAN DAN KEMASUKAN PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 4 bagi sesi pengajian 2009. Agaknya, hampir seluruh sekolah menengah teknik di seluruh negara sedang sibuk menyiapkan persiapan terakhir untuk menyambut pelajar-pelajar baru esok, 23 Februari 2009. Sekolah Menengah Teknik Besut juga tidak terkecuali. Persiapan terus dibuat sehingga ke pukul 2 pagi tadi masih ada lagi guru-guru bertungkus-lumus menyiapkan dewan, tempat paling penting untuk pendafatran pelajar esok. Ketiga-tiga pemimpin sekolah, dari Pengetua, PK 1 dan PK HEM sibuk menguruskan pelbagai perkara. Saya melihat sendiri riak muka mereka yang kadang-kadang serius, kadang-kadang masam...almaklumlah, Hari Pendaftaran Pelajar ini merupakan hari paling penting bagi mana-mana sekolahpun. Silap perkiraan, macam-macam boleh berlaku. Itulah sebab agaknya ketiga-tiga mereka macam tak cukup tangan menyiapkan semua perkara. Para guru seperti biasa, setia membantu mencurahkan tenaga bakti.

Tapi bukan hal ini yang ingin saya kupas di sini ketika ini. Hari pendaftaran belumpun bermula. Yang ingin saya kupas dan bincangkan ialah tentang satu lagi program sekolah, iaitu Kem Kepimpinan Perdana 2009, baru saja berkahir pada Sabtu lalu.

Saya bukan nak laporkan tentang pelbagai peristiwa di dalam Kem Kepimpinan itu. Saya nak buat sedikit ulasan dari sudut pandangan saya tentang beberapa perkara yang orang tak begitu nampak...Tapi sebelum itu, biar saya beri sedikit makluman tentang program besar ini. Program ini ialah Kem Kepimpinan yang terbesar rasa saya setakat ini. Belum ada Kem Kepimpinan yang disertai oleh hampir seramai 200 orang peserta di sekolah ini. Saya diberitahu oleh Penyelaras Umum program, En. Che Zahari Hamzah, perbelanjaan untuk mengendalikan program ini telah mencecah hampir RM 13, 000. Dan program ini buat julung-julung kalinya disertai oleh hampir semua guru. Maksudnya majoriti guru terlibat. Menurut En. Mohammad Azhar, setiausaha program, semua guru telah dilibatkan untuk semua jawatankuasa. Hanya beberapa orang guru sahaja telah dikecualikan kerana masalah-masalah yang tidak boleh dielakkan. Saya juga sempat berbual dengan PK HEM, Pengerusi program ini. Saya bertanyakan mengapa Kem kepimpinan ini mengambil masa sehingga 5 hari 4 malam? HEM menjawab, " takdelah sampai 5 hari...dari segi teknikalnya memanglah 5 hari, sebab kita start petang selasa, maknanya selasa hari pertama, pukul 3 petang pelajar-pelajar telah dibawa oleh dua buah bas sekolah ke Lata Belatan. Hari selasa tu, waktu pagi kita tak kacau P&P. Kita berakhir pagi Sabtu, tengah hari pelajar dah sampai ke asrama. Jadi hari penuh ialah Rabu, khamis dan Jumaat. Selasa dan Sabtu..separuh hari je. Cuma kalau malam, memang 4 malam." HEM jawab selamba je. Tapi untuk pengetahuan HEM...tidak adapun sebuah sekolah di daerah ini yang mengambil masa begtiu lama untuk melaksanakan sebuah Kem Kepimpinan...syabas!! SM Teknik. Kita mampu bertahan dengan begitu ramai pelajar di hutan Lata selama 4 malam, tanpa ada sebarang kejadian yang tidak diingini. Penglibatan guru pula lebih daripada 80 orang guru telah terlibat. Bukan guru saja, pekerja sekolah juga bertungkus-lumus. Terima kasih kepada En. Hasnol, En. Roslan dan En. Kamaruzaman. Manakala kakitangan pejabat terdiri daripada En. Sabri, En. Razali dan beberapa orang lagi. Kontraktor Kebersihan yang memberi derma air mineral dan Bank Rakyat Jertih yang memberi sedikti sumbangan wang.
Inilah yang saya kagum..betul bukan main2. Bukan juga nak angkat ekor..bukan..bukan. Ikhlas ni. Semangat kerja dalam satu pasukan. Kerjasama yang mantap, ketabahan dalam melaksanakan tugas, usaha tanpa bayaran, tiada elaun, tiada pampasan atau bayaran lebih masa. Tiada semua itu. Kita guru, kita sudah biasa macam ni. Kerja kita selalu akan melebihi daripada masa bertugas. Lata Belatan bukannya dekat. Kalau 4 malam tu, mau setangki minyak habis!! Tiada seorang gurupun yang merungut tentang bayaran minyak, tiada juga yang membebel tentang penat bekerja terpaksa tinggalkan rumahtangga. Prinsip kita mudah, siapa nak pergi, dipersilakan. Yang ada masalah, apa boleh buat. Yang ada kelapangan nak tidur, tidurlah. Tapi chalet hanya dua saja. Tak ada chalet, tidurlah di mana-mana saja. Dalam khemah, bawah pokok atau di mana-mana saja yang selesa...selesa?? mana ada selesa?? Kalau nak selesa, bukan di sini tempatnya..hehe Apa yang penting, semua program dapat berjalan dengan jayanya. Pelajar gembira dan matlamat semasa tercapai.
Tapi..inilah yang ibu bapa tak faham...inilah yang ibu bapa tak sedar...bukan semua, segelintir. Sampai masa, guru juga yang dipersalahkan...diherdik...ditengking..kadang kala di maki hamun hanya dengan sedikit kesilapan. Pengorbanan guru mendidik...hanya guru sahaja yang tahu, biarlah. Kepada Allah kita berserah.

Tuesday, February 10, 2009

FASA KEDUA PROSES KEMASUKAN PELAJAR-PELAJAR TINGKATAN 4 SESI 2009 BERJALAN LANCAR!!

Berita baik dari Unit Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar (UPK) - Surat tawaran kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 4 bagi mengikuti kursus-kursus aliran teknikal dan vokasional sesi 2009, telah siap dihantar. Guru Data yang menjadi orang kuat UPK, En. Abd Aziz Hamed menyatakan bahawa sebanyak 480 surat tawaran telahpun selamat dihantar jam 4.45 petang 9 Februari 2009. Manakala selebihnya sebanyak antara 100 - 120 surat temuduga tawaran bagi pelajar pelajar-pelajar aliran kemahiran akan dihantar selewatnya hujung minggu ini. Bagi aliran kemahiran, sebelum pelajar-pelajar diterima masuk, proses temuduga akan dijalankan bagi memilih pelajar-pelajar yang benar-benar layak dan berminat. Haji Marzuki Abdullah, Ketua Bidang Sains merangkap Penyelaras UPK memaklumkan bahawa hari temuduga bagi pelajar-pelajar aliran kemahiran akan diadakan sehari selepas hari pendaftaran pelajar-pelajar aliran teknik dan vokasional. Hal ini bermakna tarikh temuduga ialah pada 24 Februari 2009. Pelajar-pelajar yang memohon mengikuti kursus-kursus kemahiran akan menerima surat panggilan temuduga pada minggu hadapan.
PK HEM menyuarakan rasa gembiranya dengan kerjasama yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa UPK serta guru-guru kelas tingkatan 4 sesi 2009. Tindakan cepat yang diambil oleh jawatankuasa UPK membolehkan pihak sekolah menghantar segera surat-surat tawaran kemasukan selepas sehari PK HEM bersama En. Abd. Aziz Hamed mengambil senarai kemasukan di Subang Jaya. Pada hujung minggu lepas, En. Abd. Aziz dan Hj. Affandi telah menghadiri Mesyuarat Penyerahan Tawaran Kemasukan yang dirasmikan oleh Pengarah BPTV iaitu Datuk Haji Yusof Harun di Hotel Summit USJ.
Penghantaran surat-surat tawaran kemasukan tersebut menandakan bahawa selesailah sudah Fasa 2 Proses Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar-pelajar ke SMT Besut bagi sesi pengajian 2009. Fasa 1 yang merangkumi kerja-kerja outreach telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh AJK UPK pada bulan Oktober dan November 2008. Fasa 3 akan bermula minggu depan. Fasa 3 ialah Operasi Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar yang akan dilaksanakan pada 23 Februari ini. Satu mesyuarat jawatankuasa bertindak UPK akan diadakan pada Ahad 15 Februari 2009. Mesyuarat ini amat penting bagi melicinkan perjalanan kerja-kerja operasi pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baru. Kita mengharapkan agar proses kemasukan pelajar-pelajar tingkatan 4 tahun ini akan menjadi lebih cemerlang dan berjaya.

Sunday, February 1, 2009

PROGRAM KECEMERLANGAN 100%, MINIMUM 4A DAN CGPA 5.0...program yang sangat berjaya dan efektif!!

Maaf tuan blog, terlewat dua hari. Kesibukan kerja..macam biasalah. Ingatkan nak sambung cerita tapi nantilah dulu ye. Lagipun laporan Program 100% Cemerlang agak saya lebih penting daripada yang lain-lain. Jadi kita beri laluan pada laporan program ni lah dulu ye.

PROGRAM ini bolehlah saya anggap BERJAYA. Syabas kepada semua terutama bos besar kita, tuan pengetua yang bersungguh-sungguh benar menjayakan program ini. Saya terharu juga bila Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Tuan Haji Zubir Embong memeluk pengetua. Bukan senang dia nak peluk orang, selain daripada menyambut orang balik dari Tanah Suci, rasanya sangat terhad rasa nak peluk ni kecuali apabila kita sangat menghargai sesuatu. Hj. Zubir kelihatan sangat menghargai respon audien yang mendengar ceramah beliau. Rasa terharu tergambar jelas di wajahnya apabila kutipan derma kilat yang dilancarkan sendiri olehnya telah mencecah sebanyak RM 2240.40!! Dalam masa hanya beberapa minit sahaja, kutipan sebanyak itu dapat dibuat. Orang yang membuat kutipan, Cikgu Wahabpun nampak terkejut dan hairan dengan sambutan daripada ibu bapa. Hal ini menandakan audien mendapat sesuatu daripada penyampaian ceramah beliau. Saya sendiripun tak menjangka kutipan sebanyak itu dapat dibuat. Paling-paling banyakpun saya jangka dalam 500 - 600 ratus ringgit sahaja. Tetapi bila angkanya mencapai lebih dua ribu, ini sudah cukup baik!!

Apapun program yang kita rancang dan buat yang melibatkan ibu bapa, kehadiran amat memuaskan. Sebulan tahun ini berlalu, kita telah memanggil beberapa kali pertemuan dengan ibu bapa. Setiap pertemuan kehadiran hampir-hampir 100 peratus. Ibu bapa sanggup hadir walaupun terpaksa menahan malu akibat kesalahan disiplin yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Dan lagi, setiap pertemuan mesti ada jamuan hebat. Saya bukan nak memuji tak tentu pasal, pengetua kita memang sangat mengambil berat akan hal ini. Ibu bapa hadir mesti kena sajikan makanan. Makanan mesti first class. Tambahan lagi dengan kontraktor baru dewan makan yang memang teror dalam hal masakan. Kalau tak percaya ajaklah PK HEM atau Ketua Warden ke asrama sekali-sekala. Cuba jamah hidangan untuk para pelajar. Memang sedap. Cubalah pergi.

Sorry sekali lagi tuan blog..bukan membebel ini, bukan juga 'melayur' sesiapa. Tak ada masa nak buat itu semua. Banyak lagi kerja lain yang boleh saya buat kalau setakat nak membodek di sini. Bila saya tulis, itulah dia. Memang ikhlas tu. Bukan niat nak melayur atau membodek. Semua orang boleh tenguk apa yang berlaku pada Sabtu 31 Januari 2009 lalu. Semua orang boleh buat penilaian sendiri. Ibu bapa melimpah-ruah datang. Ada yang sebelum subuh dah bertolak. Yang duduk di Kemaman tu. Ada yang datang satu keluarga, mak ayah, adik kakak, sampai atukpun datang. Guru-guru kitapun bukan main bersemangat lagi bila tenguk ibu bapa ramai yang hadir. Dari kejauhan, saya terharu sungguh bila melihat dua orang guru kita yang masih melayan ibu bapa walaupun majlis telah lama tamat. Orang lain semua ke dewan makan Aspuri, tapi dua orang guru kita ni bersungguh-sungguh menjelaskan prestasi akademik pelajar kepada ibu bapa mereka. Nak sebut ke nama...kalau dalam mesyuarat mesti sibuk.." sebut nama!! sebut nama!!"
Ustazah Fauziah dan Puan Hartini. Haa...dah sebutpun nama tu..Saya 'tabik tarik' pada dua orang guru kita ni. Saya kagum dan bangga dengan semangat mereka. Takpe...saya bukan memuji tak tentu pasal. Yang betul. Biarlah tuan pengetua tak puji, saya nak puji guru kita kali ni. Saya sangat terharu dengan kerja-kerja yang mereka buat. Ibu bapa memang berpuas hati. Syabas..guru-guru SMTB!!

Yang paling unik ialah terdapat pemuafakatan yang bernilai tinggi di dalam majlis ini. Ataupun persepakatan..perkataan ni PK HEM suka sangat. Sayapun hairan kenapa dia tak guna permuafakatan. Tak apalah, muafakat atau sepakat lebih kurang sama saja matlamatnya. Majoriti ibu bapa menunjukkan semangat muafakat dan persefahaman yang tinggi mengatasi batas-batas kedaerahan dan politik. Memang profesional apabila Ahli Parlimen Machang, YB Saifudin Nasution menyambut baik pelawaan Hj Zubir untuk menjadi ketua ibu bapa semasa melafazkan kata-kata semangat kepada anak-anak. Kita dapat lihat bagaimana pendidikan sebagai wadah perjuangan dapat menyatukan minda dan emosi manusia. Itulah dia keikhlasan dalam pendidikan. Apabila matlamat pendidikan untuk melahirkan insan beriman dan berakhlak mulia diberi keutamaan paling tinggi, semua manusia tidak mengira fahaman apapun akan bersatu dalam fikrah dan tindakan. Sekali lagi syabassss...SMTB kerana berjaya mengadakan majlis profesional seperti ini.

Tuan Haji Zubir Embong memang sudah biasa dikenali sebagai pentadbir dan pengurus akademik yang berwibawa di seluruh negeri Terengganu. Banyak program yang dirancang mendatangkan hasil yang cemerlang. Ceramah beliau tentang peranan dan fungsi ibu bapa terhadap kejayaan anak-anak di dalam pendidikan mendatangkan kesan yang mendalam di dalam jiwa ibu bapa. Saya tersenyum apabila mendengar komen ibu bapa. "..bagus ceramah dia..bolehlah kira, tak rugi kita mari jauh-jauh.." Kalau ibu bapa boleh kata macam tu, itu bermakna sesuatu yang baik telah melekat di dalam hati dan perasaannya.

Akhirnya, saya sebagai pengulas bebas program ini sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang bertungkus-lumus dan berkerja keras bagi menjayakan program ini, terutama tuan pengetua kita, Haji Abdullah Zawawi Bin Yahya. Syabas!! tuan di atas landasan sekarang, teruskan bergerak ke hadapan dengan jayanya!!