Wednesday, January 28, 2009

ANTARA HIKMAH DAN REALITI : DI MANA RASIONAL?

Salam sejahtera. Bertemu semula di ruangan ini. Mungkin Cikgu Fandi tidak berapa menggemari stail saya mengupdate (ada ke perkataan ini, marah guru BM ni) blog ini. Saya lebih berminat untuk mengupas peristiwa daripada membuat laporan berita. Pada saya, laporan berita ialah laporan peristiwa yang berlaku. Tiada komentar dan pendapat. Hanya laporan kes. Saya lebih suka membuat ulasan dan kupasan. Apapun, tak kisahlah, janji blog ini sentiasa berkembang dan updated selalu..sorry Cikgu Fandi. Nanti bila line bloggers kita yang dua orang tu dah clear, mungkin depa ada stail lain pulak.

Terpanggil saya untuk membuat sedikit ulasan tentang beberapa kes disiplin yang berlaku dalam masa sebulan ini. Adalah satu dua kes yang menarik. Paling hebat ialah kes pelajar 'melawan' guru. Saya dah bincang dengan cikgu Fandi tentang status kes ini. Saya pun takut juga nak buat kupasan. Tapi Cikgu Fandi bagi green light.."ok, tak apa, demo boleh ulas asal membina. Jangan ada niat yang tak baik, kalau niat kita baik, Allah tolong kita, insyaAllah". "Cikgu nak tapis ke dulu sebelum publish?"..."..alaa, tak apa, taip je dulu, nanti kalau panas..kita editlah.." itu jawapan Cikgu Fandi. Memang dia jenis orang confident. Saya masih ingat lagi semasa dia pegang KGD, beberapa minggu sebelum sekolah bercuti tahun lepas, dia dengan confident buat 'Operasi Lalang' di blok-blok asrama. Dia bukan lone ranger, ramai juga pengikut setianya. Dia jenis tak kisah, kalau ada yang nak membantu, dipersilakan, kalau tak ada, dia seorangpun dia akan buat. Sayapun pernah tolong dia. Bukan apa, kesian tenguk..terhegeh-hegeh turun tangga naik tangga. Tapi objektifnya tercapai. Adalah sikit perkembangan positif di asrama.

Kita kembali semula pada kes tadi. Peristiwa tersebut berlaku pada hari-hari terakhir minggu kedua semasa program reorientation. Kes ini betul-betul mencacatkan program tersebut. Kesian kaunselor-kaunselor kita. Bertungkus-lumus mereka mengatur segala perancangan dan jadual tapi akibat kes ini ramai yang membuat persepsi bahawa reorientation pelajar2 tingkatan 5..GAGAL! Begitu mudah manusia membuat penilaian. Bagi saya, gagal atau berjayanya sesuatu program bukan terletak pada individu-individu tertentu. Kurang bijaklah kita kalau terus membuat penilaian mcm tu. Disebabkan seekor kerbau yang membawa lumpur...

Saya tidak berada di lapangan ketika itu. Saya tidak betul-betul mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Cikgu kitapun tak ramai yang tenguk. Untuk membuat kupasan kes ini, saya telah membuat sedikit tinjauan dan penyelidikan ringkas. Tinjauan saya mestilah dengan cara mengumpul data daripada orang-orang yang terlibat secara langsung ataupun tak langsung. Saya tanya guru-guru yang melihat. Saya berbual dengan pelajar yang ada di lapangan pada masa itu. Target kes (orang-orang terlibat) saya jauhi. Mengapa? Sebabnya takut bias. Boleh saja saya bertanya terus kepada yang empunya diri. Tapi saya tak suka cara itu. Saya lebih suka melihat daripada sudut pandangan orang ketiga. Ok..panjang sangat intro saya ni. Jenuh orang membaca. Kalau Cikgu Fandi, dia akan baca sekerat saja intro ni.."what's the point bro??..apa yang demo nak highlight ni?" mesti itu yang terkeluar drp mulut dia..saya dah kena dulu.

Formula kes sangat mudah. Pelajar cari pasal. Pelajarlah dulu yang cari pasal. Selalunya macam itulah. Penyebab pertama mesti pelajar. Pelajarlah yang mencipta kes. Ok, kalau ikut fatwa puak2 filosuf zaman dahulu kala..orang yang mula-mula cari pasal dan buat kes, orang itulah yang bersalah. Filosuf kata, mana pokok nak goyang kalau bukan kerana angin yang bertiup? Mustahil pokok sendiri-sendiri goyang..hehe teringat kat Samy Velu...Tapi, yang aneh bin ajaibnya, sehingga penghujung kes, kelihatan gurulah yang bersalah...

Guru tersebut memberhentikan keretanya atas dasar 'SEMUA GURU IALAH GURU DISIPLIN'..dan memenag diapun sebenarnya guru MTD!! Berhentikan kereta dan suruh/minta pelajar ke surau untuk siap sedia semayang Zohor. Mengikut keterangan daripada pengawal keselamatan, guru tersebut menyuruh dengan baik. Sekali. Dua kali, suara guru agak kuat..tiga kali suruh dan bila guru tersebut mula buka pintu kereta nak turun, barulah pelajar mula bergerak. Pelajar HANYA mula bergerak bila cikgu turun kereta. Agaknya kalau sekali suruh pelajar dah mula bergerak dan dengar kata, tak adalah kes!! Tapi itulah pelajar-pelajar kita. Cikgu-cikgu fahamlah kan..

Pengawal Keselamatan yang melihat memberitahu saya secara jujur. Guru mula membuka suara dengan lantang meminta semua pelajar yang berada di Minda dan bawah pokok bergerak ke surau. Sebelum itu, mengikut pengawal, sudah ada pengumuman yang meminta semua pelajar ke surau. Pelajar hanya akan dibenarkan balik selepas semayang Zohor berjamaah di surau. Maksudnya, pelajar yang berada di Minda telah ingkar perintah awal-awal lagi. Mereka terdiri drp golongan pelajar bermotosikal ke sekolah. Cikgu Fandi sangat arif dengan perangai golongan ini. Dan golongan inilah yang selalunya mencipta masalah terutama nak balik awal. Kadang-kala mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan bila pintu pagar motor tidak dibuka. Walau bagaimanapun, pada ketika kes berlaku, kebanyakan pelajar menurut arahan guru tersebut, kecuali beberapa orang dan termasuk dalam golongan itu, suspek kes ini. Mengikut keterangan pengawal keselamatan, suspek kata, "nak semayang apa masa ni, baru pukul 1". Mengikut Kaunselor, memang program diberhenti lebih awal seperti di dalam jadual bagi persiapan untuk tazkirah cikgu Zaki sebelum zohor.

Pelajar tersebut telah dipanggil oleh guru. Pelajar datang atau guru pergi ke tempat pelajar, hal ini samar2. Ok, apa yang berlaku mengikut beberapa saksi selepas itu ialah pergaduhan antara pelajar dengan guru...bersambung

Sunday, January 25, 2009

BLOGER TERSOHOR...secebis kisah

Assalamualaikum wbh, wbt.
Saya ialah guru yang diberi tugas untuk mengemaskini blog disiplin ini dan telah menerima mandat dari masterblog ini untuk melaksanakan tugas ini serta-merta. Saya dimaklumkan bahawa terdapat satu unit baru dalam struktur organisasi MTD iaitu BIRO PENERBITAN DAN ICT. Di dalam mesyuarat pertama MTD, majlis telah sebulat suara menyerahkan blog ini kepada dua orang guru untuk menguruskannya. Walau bagaimanapun, PK HEM telah menyerahkan tugas ini kepada saya sebelum dua orang guru tersebut dapat menjalankan tugas mereka secara rasmi. Walaupun saya bukan guru disiplin, maksud saya bukan ahli majlis MTD, saya melihat terdapat beberapa perubahan yang baik dari segi struktur organisasi MTD. MTD kelihatan semakin teguh dengan beberapa perubahan struktur. Pertamanya, saya tidak terfikir akan terdapat blog disiplin seperti ini apatah lagi dengan penubuhan Biro Penerbitan dan ICT. Ini memang suatu perkembangan yang cukup memberangsangkan! Saya telah berbincang dengan Cikgu Fandi, pengendali asal blog ini dan beliau telah menyerahkan tugas mengendalikan blog ini kepada saya buat sementara waktu. Tugas ini memang sangat mencabar. Saya perlu mengemaskini blog disiplin ini setiap masa dan perlu menjadikannya sebagai medan perkembangan dan perbincangan disiplin yang positif dan sihat. Apa yang saya dapat perhatikan, ramai yang masih belum tahu akan kewujudan blog ini, baik guru mahupun pelajar. Jadi, tugas pertama saya ialah mempromosikan blog disiplin ini kepada warga SMTB.

Untuk mempromosi blog seperti ni bukanlah susah, saya hanya perlu menguar-uarkan kepada para pelajar dan guru. Atau mungkin boleh mengumumkan semasa asembly atau masukkan berita ini ke dalam buletin sekolah. Saya kira sedikit masa lagi blog ini akan dikunjungi ramai. Apa yang saya bimbangkan ialah kemungkinan blog ini menjadi medan maki hamun atau medan luahan perasaan secara negatif oleh pengunjung2 blog yang tidak bertanggungjawab. Saya berbincang dengan Cikgu Fandi hal ini tetapi beliau tidak menampakkan sedikitpun kerisauan. "Kita bina blog ini dengan niat yang baik, kita positif dulu, kalau ada masalah, kita atasi bersama", itu kata-kata ringkas Cikgu Fandi sebelum dia meninggalkan saya. Memang dia sangat sibuk semenjak memegang jawatan PK HEM ini. Saya faham dia seorang yang praktikal dan opstimistik tetapi membiarkan saya seperti ini dengan tugasan mengendalikan blog disiplin ini memang sesuatu yang sangat mencabar...teruk saya sekali ni. Saya mendiamkan diri selama seminggu. Nasib baik saya tidak terserempak dengan Cikgu Fandi. Mesti dia akan tanya tentang blog ni. Apa saya nak jawab? Satu perkarapun saya tak tulis lagi sedangkan telah banyak persitiwa berlaku. Tapi semalam, sabtu, saya terserempak dengan beliau secara tak sengaja. Dia macam biasa, serius dan masam. Belumpun sempat saya membuka mulut, dia telah menyelitkan secebis kertas ke dalam poket saya. Sebelum saya dapat melihat isi kandungan kertas tersebut, Cikgu Fandi telah lesap dan hilang...

Tercengang saya bila membaca isi kertas tersebut...'JUMPA HALIM DAN HAZIMI...BLOGER TERSOHOR'

Saturday, January 24, 2009

CABARAN SEMAKIN HEBAT, PERJUANGAN MENEGAKKAN DISIPLIN TIDAK PERNAH LUNTUR MALAH SEMAKIN MANTAP

Minggu ketiga bulan Januari 2009 sarat dengan pelbagai peristiwa terutama yang berkaitan dengan permasalahan disiplin. Para pelajar mula memberi respon terhadap penguatkuasaan beberapa peraturan baru yang sebelum ini tidak dipraktikkan. Pertamanya, Perhimpunan Pagi setiap hari yang baru dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah. Majlis perhimpunan ringkas setiap hari yang bermula seawal pukul 7.20 dan tamat pada 7.40 pagi mempunyai banyak signifikan yang menguntungkan. Prosedur catatan kehadiran pelajar akan menjadi lebih tersusun dan kemas. Para guru kelas akan datang ke perhimpunan untuk menandakan kehadiran pelajar. Pada masa yang sama pelajar yang tidak hadir sekolah pada hari semalamnya akan dipanggil untuk dikenalpasti. Cara ini akan dapat mengatasi masalah ponteng sekolah dan datang lambat ke sekolah. Gejala ponteng sekolah tanpa sebab merupakan perkara lumrah dan sukar dibendung. Hanya penguatkuasaan yang teliti sahaja akan dapat mengatasi masalah ponteng sekolah.

Selepas menanda kedatangan pelajar, para pelajar akan dibawa masuk ke kelas oleh guru masa pertama bagi meneruskan proses P&P. Kecaknaan sebegini rupa akan dapat memberi semangat baru kepada para pelajar. Walau bagaimanapun jika tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, program perhimpunan pelajar setiap hari ini akan hanya mendatangkan keburukan. Jadi, kejayaan program ini banyak terletak di bahu para guru. Jika para guru gagal memberi kerjasama yang jitu, pelajar akan menjadi lebih sukar untuk dikumpulkan.

Tuesday, January 20, 2009

MESYUARAT PERTAMA MTD SESI 2009

MAJLIS TINDAKAN DISIPLIN (MTD) telah bermesyuarat kali pertama pada 15 Januari 2009 bertempat di Bilik Mesyuarat. Seramai lebih daripada 30 orang ahli-ahli majlis MTD telah hadir untuk membincangkan pembentukan struktur organisasi baru MTD bagi sesi pengajian 2009. Penyelaras Utama MTD, iaitu En. Che Zahari Hamzah telah mempengerusikan mesyuarat dan mengalu-alukan kehadiran guru-guru disiplin SMTB bagi sesi 2009. Selaku PU, beliau telah mengemukakan cadangan struktur baru MTD seperti yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat Guru Kali Pertama sehari sebelum sesi persekolahan 2009 bermula. Struktur baru organisasi MTD yang telah digubal oleh Penolong Kanan HEM telah menarik perhatian ramai kerana terdapat beberapa pembaharuan drastik yang diperkenalkan bagi memantapkan lagi keberkesanan dalam pengurusan MTD. Di antara perubahan yang diperkenalkan ialah :

1. Ketua Guru Disiplin (KGD) bagi setiap aliran teknikal dan vokasional
(KGD - Teknikal dan KGD - Vokasional)
2. Struktur organisasi Badan Pengawas yang baru dan biro-biro yang terlibat
3. Biro-biro baru di dalam struktur MTD

En. Saidi Said dan En. Wan Mohd. Zulfakri Wan Bakar telah dipersetujui untuk jawatan KGD bagi aliran teknikal dan vokasional. Manakala En. Hadzuan Haron dilantik sebagai Ketua Guru Pengawas yang baru.

(Penerangan lanjut tentang biro-biro baru MTD dan biro-bairo Badan Pengawas akan dijelaskan kemudian)

Sunday, January 18, 2009

2009 - TAHUN MENCABAR BAGI MTD; KOMITMEN YANG TINGGI DIPERLUKAN UNTUK MENANGANI PERUBAHAN

SELAMAT TAHUN BARU 2009 DAN MAAL HIJRAH 1430H BAGI SEMUA WARGA SMTB
Saya menyusun sepuluh jari pohon jutaan kemaafan kepada semua pembaca kerana terlalu lama tidak mengemaskini Laman Disiplin ini. Terlalu banyak urusan dan pekerjaan yang berbelit sekeliling pinggang sehingga saya terlepas pandang. Saya pohon kemaafan sekali lagi. Kalau tidak kerana seorang pembaca yang 'mengejutkan' saya di chatbox mungkin saya masih lara dan tertidur lagi...

Tuan-tuan, kita sudah berada di minggu ketiga dalam tahun baru ini dan terlalu banyak perkembangan disiplin yang berlaku di bumi SMTB tercinta. Kita bermula dengan minggu pertama yang cemerlang. Kedatangan rombongan nazir daripada JPN Terengganu seawal pagi pertama sesi persekolahan 2009 memberi semangat baru untuk kita terus bekerja. Kemudian diikuti oleh lawatan mengejut daripada Timbalan Pengarah BPTV. Lawatan ini memberi makna tersendiri kepada semua guru. Kerja-kerja pendidikan perlu lebih kemas dan berkesan agar memberi impak yang maksimum kepada semua pelajar.

Minggu kedua semakin mencabar. Program Orientasi Semula (Re-Orientation) pelajar-pelajar tingkatan lima telah dilaksanakan dengan penjadualan dan pengisian yang lebih efisyen berbanding tahun-tahun lepas. Pengetua dengan keyakinan yang tinggi telah memberi nafas baru kepada semua pelajar melalui Ceramah Menangani Perubahan (Managing Change) Majoriti pelajar dapat memahami intipati yang ingin disampaikan oleh beliau. Angin perubahan yang bertiup ke dalam sanubari para pelajar telah membawa persepsi baru dan tanggapan positif kepada para guru. Kita merasakan bahawa tahun 2009 akan menjadi 'miles stone' bagi kebangkitan semula kecemerlangan Sekolah Menengah Teknik Besut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa peristiwa yang mencacatkan persepsi kita iaitu salah laku disiplin yang dilakukan oleh segelintir pelajar bermasalah. Sebagai pendidik, kita tidak pernah menganggap bahawa fenomena salah laku ini sebagai penghalang kepada usaha murni kita untuk membentuk modal insan berminda kelas pertama.