Thursday, September 25, 2008

SELAMAT HARI RAYA IDULFITRI 1429H KEPADA SEMUA WARGA SM. TEKNIK BESUT

Khamis, 25 September 2008 / 25 Ramadhan 1429H

Hari ini ialah hari terakhir persekolahan sebelum cuti panjang sempena Hari Raya Aidulfitri 2008 selama 10 hari (26/09/08 - 4/10/08). Perhimpunan Khas telah diadakan tepat jam 10 pagi untuk mengagihkan wang zakat dan derma kepada para pelajar yang miskin dan kurang berkemampuan. Sumber-sumber wang zakat dan derma telah banyak dikumpulkan sama dari individu ataupun badan-badan penting sekolah. Cikgu Hajah Nor Paizah bt Hassan telah mewakili guru yang paling banyak menghulurkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin. Begitu juga kepada Cikgu Hj. Ab. Rahim Mat yang mewakili Badan Koperasi Sekolah. Tuan Pengetua, Hj Abdullah Zawawi bin Yahya telah memberi nasihat dan pesanan penting kepada para pelajar sebelum mereka balik bercuti. Mereka dinasihatkan agar banyak mengulangkaji pelajaran terutama para pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki Peperiksaan SPM November nanti. Bagi pihak MTD pula, Ketua Guru Disiplin (KGD) mengumumkan bahawa kutipan kompaun yang diterima daripada pelajar-pelajar akan diserahkan semula kepada mereka yang berkenaan. Walau bagaimanapun permohonan segelintir pelajar untuk mendapatkan semula barang-barang rampasan tidak sempat untuk diproses sebelum mereka pulang bercuti. Untuk itu, KGD berjanji akan mempercepatkan proses permohonan mereka setelah cuti hari raya kelak.
Kepada semua pelajar SM. Teknik Besut, selamat bercuti dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


Get Hari Raya Graphics Here



Kami, warga kerja Majlis Tindakan Disiplin (MTD)menyusun jari memohon kemaafan kepada rakan-rakan seperjuangan, warga guru dan kakitangan sekolah, tak lupa kepada semua pengawal keselamatan dan pekerja-pekerja swasta, sempena hari baik bulan baik ini dan secara tulus ikhlas kepada semua pelajar tingkatan 4 dan 5, aliran teknik dan vokasional termasuk SKM, kami mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Get Hari Raya Graphics Here



Saya, Mohd. Affandi Abd. Rahman (KGD) pengendali web blog Disiplin ini dan En. Che Zahari bin Hamzah (Penyelaras MTD) serta semua ahli Majlis Kerja MTD sekolah mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri 2008/1429H kepada tuan pengetua, Tuan Haji Abdullah Zawawi Yahya dan keluarga, PK1 YM Raja Ismail Raja Kechik dan keluarga, PK HEM Puan Hajah Wan Kursiah dan keluarga, PK Kokurikulum Pn. Hajah Sabariah Awang Mat dan keluarga serta guru-guru Kanan Ketua bidang; Hj. Marzuki Abdullah, Pn. Nik Khatipah Nik Hushin, En. Amru Ismail, Hj. Dzulkefli Hassan, En. Wahab Ismail, Ketua-Ketua Bengkel; En. Shaari Yusof, Hj. Samsudin Baim, En. Zakaria Ibrahim, En. Abd. Hamid Latif, Hj. Zainol, Ketua Warden Asrama dan Ketua Bengkel PPU, En. Hamzah Ab. Rahman dan warden-warden, Ketua-ketua Panitia dan semua warga guru dan kakitangan sekolah, MAAF DI ATAS SEGALA KESILAPAN..,MAAF ZAHIR BATIN.


Get Hari Raya Graphics Here




Get Hari Raya Graphics Here




Get Hari Raya Graphics Here

Monday, September 22, 2008

Tekad Baru, Nafas Perjuangan Menghadapi SPM 2008

22 September 2008 / 22 Ramadhan 1429 H

7.40 pagi, Hari ini semua pelajar Tingkatan 5 aliran Teknik dan Vokasional telah berhimpun di Dataran Bola Tampar sebelah Dewan Besar bagi memperbaharui tekad dan azam untuk menambahkan keyakinan, iltizam dan komitmen bagi menghadapi Peperiksaan SPM 2008. Lebih 70% pelajar hadir dan bersungguh-sungguh menyanyikan lagu Negaraku dan berdoa ke hadrat Ilahi agar diberi keberkatan sempena minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Idul Fitri. Menurut jurucakap Majlis Tindakan Disiplin (MTD), perhimpunan ini julung-julung kali diadakan pada bulan berkat penuh rahmat, Ramadhan AlMubarak dan akan diteruskan setiap hari sehinggalah ke hari peperiksaan kelak. Menurut Ketua Guru Disiplin, Hj. Mohd Affandi, acara perhimpunan pagi setiap hari seperti ini bukanlah perkara baru di daerah Besut ini. Banyak sekolah telah lama mengamalkan tradisi perhimpunan setiap pagi bagi pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar. Cuma, apa yang menarik di SMTB ialah setiap pelajar dikehendaki memperbaharui niat baik di dalam sanubari mereka bagi menghadapi pelajaran. Niat dan azam tidak semestinya dibuat pada awal tahun sahaja. Niat dan azam mesti diperbaharui setiap masa dan ketika agar kesungguhan untuk menghadapi peperiksaan akan benar-benar dirasai.

Syabas diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 5 SMTB. Semoga anda semua diberkati Allah SWT setiap ketika, mendapat hidayah dan petunjuk kebenaran. Amin

Friday, September 12, 2008

Wajah Baru Aspura..

11 September 2008 / 11 Ramadhan 1429H

Hari ini masuk hari ketiga minggu kedua operasi 'membaikpulih' wajah baru asrama putera dijalankan bersama-sama MTD sebagai penganjur operasi dan pihak Jawatankuasa Bertindak Warden yang diketuai oleh Ketua Warden, En. Hamzah Ab. Rahman. Laporan diterima menyatakan bahawa terdapat perbincangan serius berlaku antara pihak penganjur, MTD dengan Ketua Kontraktor Kebersihan Sekolah, En Hadi berkenaan pelaksanaan pembersihan yang melibatkan bilik-bilik penginapan di semua blok asrama putera. Hasil perbincangan adalah positif dan MTD menunggu jadual pelaksanaan dan kaedah baru pembersihan bilik-bilik penginapan tersebut.
Tanggungjawab menjaga kebersihan di asrama sebenarnya bukan semata-mata terpikul oleh pekerja-pekerja kebersihan tetapi juga melibatkan komitmen sepenuhnya para penghuni asrama di bawah pengawasan warden dan penyelia asrama. Walau bagaimanapun, tanpa penjadualan tetap dan kaedah pembersihan terancang oleh pekerja-pekerja kebersihan, para pelajar tidak dapat menunjukkan kebertanggungjawaban mereka menjaga kebersihan bilik. Hal ini dijelaskan dengan terperinci oleh Ketua Warden sambil menyeru Ketua Kontraktor Kebersihan agar dapat bertindak dengan cara yang lebih profesional dan terancang. MTD sebagai penganjur operasi telah berjaya menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. MTD berkemungkinan besar akan membuat laporan terperinci tentang operasi ini kepada pihak pengurusan sekolah dan mencadangkan agar satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan secara serius langkah-langkah berkesan yang boleh diambil untuk mengatasi permasalahan yang berlaku.

Tuesday, September 9, 2008

MTD 'Mengamuk' lagi...



Selasa, 9 September 2008 / 9 Ramadhan 1429H

Hari ni jam 8.00 pagi, Majlis Tindakan Disiplin (MTD) melancarkan operasi mengejut di semua blok asrama putera. Operasi yang bertujuan untuk meningkatkan kembali imej dan wajah baru asrama putera sebagai asrama cemerlang dan ceria telah dijalankan oleh Biro Operasi Kebajikan MTD bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Warden Asrama yang diketuai oleh Ketua Warden, En. Hamzah Ab. Rahman. Menurut En. Aznan, warden Blok V, keperihatinan pihak pengurusan sekolah dan MTD menangani masalah yang berlaku di asrama pada bulan Ramadhan kali ini telah menyuntik semangat baru kepada semua warden untuk turun padang bersama-sama tuan pengetua, Tn. Hj. Abdullah Zawawi Bin Yahya dan Penolong Kanan 1, YM Raja Ismail Raja Kechik. Langkah drastik yang diambil oleh pihak MTD dan Warden Asrama telah mendapat pujian daripada Pengetua. Menurut beliau, semangat bekerja di dalam satu pasukan seperti itulah yang diingini selaras dengan kehendak Jabatan Pendidikan Teknikal (JPTEK) bagi membina kesepaduan dalam semua tindakan.
Operasi kali ini dianggap berjaya mencapai matlamat apabila semua penghuni asrama di semua blok berpadu tenaga untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan, baik pulih dan keceriaan agar konsep Asrama Sebagai Tempat Tinggal Paling Selesa dan Konsep AsramaKu SyurgaKu dapat dihayati sepenuhnya. Operasi untuk hari ini ditamatkan dengan jayanya apabila sejumlah lebih 100 orang penghuni Asrama Blok V dengan kelolaan wardennya En. Aznan, masing-masing menjalani proses siap diri dengan menggunting rambut satu aras agar kelihatan lebih segak dan bermotivasi.

Monday, September 8, 2008

OPS RAMADHAN BERJAYA

8 September 2008 / 8 Ramadhan 1429H

Hari ini tepat jam 8.30 pagi, Biro Operasi Cegah Ponteng MTD telah menjalankan OPS Ramadhan setelah menerima beberapa laporan daripada pihak guru yang mengatakan terdapat segelintir pelajar asrama ponteng sekolah dan tidur di blok. OPS Ramadhan yang diketuai oleh Ketua Guru Disiplin berserta beberapa orang warden dan kaunselor telah berjaya menangkap 8 orang pelajar yang sedang lena tidur. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 4 yang telah kerap kali terlibat dalam pelbagai kes salah laku.
Pihak MTD menyeru para pelajar agar bijak menangani masalah percaturan masa ketika bulan Ramadhan agar mereka tidak lalai dan leka akibat perubahan waktu. Kebanyakan pelajar yang terlajak tidur setelah bangun sahur selalunya akan kesuntukan masa untuk ke sekolah dan mengambil keputusan untuk terus ponteng dan tidur di asrama. Walau bagaimanapun gejala ini tidaklah meluas dan dilakukan oleh segelintir pelajar sahaja. Majoriti Pelajar asrama patuh pada peraturan dan undang-undang yang telah sedia ada.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1429H kepada semua warga SM. Teknik Besut






Ketibaan Ramadhan 1429H disambut meriah oleh semua warga SMTB. Suasana tenang dan damai menyelubungi SMTB dengan iklim tawadhuk menginsafi kekerdilan diri sebagai hamba Allah.
Pelajar-pelajar tingkatan 5 Aliran Teknik dan Vokasional menyambut ketibaan Ramadhan dengan tekad untuk menjadi warga pelajar yang patuh dengan implementasi terhadap kesungguhan dan komitmen yang tinggi menjawab soalan-soalan dalam Peperiksaan Percubaan SPM 2008. Setelah seminggu menghadapi peperiksaan, mereka masih lagi tabah dan cekal untuk menjunjung kegemilangan. Suasana Ramadhan 1429H benar-benar menyerlahkan keinsafan di dalam diri mereka agar lebih memberi tumpuan terhadap pelajaran dan meninggalkan tingkah laku buruk dan menghindari salah laku disiplin. Kami dari MTD mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa kepada semua warga guru dan kakitangan serta semua pelajar. Semoga Ramadhan 1429H memberi kesejahteraan dan kedamaian kepada kita semua