Sunday, January 18, 2009

2009 - TAHUN MENCABAR BAGI MTD; KOMITMEN YANG TINGGI DIPERLUKAN UNTUK MENANGANI PERUBAHAN

SELAMAT TAHUN BARU 2009 DAN MAAL HIJRAH 1430H BAGI SEMUA WARGA SMTB
Saya menyusun sepuluh jari pohon jutaan kemaafan kepada semua pembaca kerana terlalu lama tidak mengemaskini Laman Disiplin ini. Terlalu banyak urusan dan pekerjaan yang berbelit sekeliling pinggang sehingga saya terlepas pandang. Saya pohon kemaafan sekali lagi. Kalau tidak kerana seorang pembaca yang 'mengejutkan' saya di chatbox mungkin saya masih lara dan tertidur lagi...

Tuan-tuan, kita sudah berada di minggu ketiga dalam tahun baru ini dan terlalu banyak perkembangan disiplin yang berlaku di bumi SMTB tercinta. Kita bermula dengan minggu pertama yang cemerlang. Kedatangan rombongan nazir daripada JPN Terengganu seawal pagi pertama sesi persekolahan 2009 memberi semangat baru untuk kita terus bekerja. Kemudian diikuti oleh lawatan mengejut daripada Timbalan Pengarah BPTV. Lawatan ini memberi makna tersendiri kepada semua guru. Kerja-kerja pendidikan perlu lebih kemas dan berkesan agar memberi impak yang maksimum kepada semua pelajar.

Minggu kedua semakin mencabar. Program Orientasi Semula (Re-Orientation) pelajar-pelajar tingkatan lima telah dilaksanakan dengan penjadualan dan pengisian yang lebih efisyen berbanding tahun-tahun lepas. Pengetua dengan keyakinan yang tinggi telah memberi nafas baru kepada semua pelajar melalui Ceramah Menangani Perubahan (Managing Change) Majoriti pelajar dapat memahami intipati yang ingin disampaikan oleh beliau. Angin perubahan yang bertiup ke dalam sanubari para pelajar telah membawa persepsi baru dan tanggapan positif kepada para guru. Kita merasakan bahawa tahun 2009 akan menjadi 'miles stone' bagi kebangkitan semula kecemerlangan Sekolah Menengah Teknik Besut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa peristiwa yang mencacatkan persepsi kita iaitu salah laku disiplin yang dilakukan oleh segelintir pelajar bermasalah. Sebagai pendidik, kita tidak pernah menganggap bahawa fenomena salah laku ini sebagai penghalang kepada usaha murni kita untuk membentuk modal insan berminda kelas pertama.

No comments: