Saturday, January 24, 2009

CABARAN SEMAKIN HEBAT, PERJUANGAN MENEGAKKAN DISIPLIN TIDAK PERNAH LUNTUR MALAH SEMAKIN MANTAP

Minggu ketiga bulan Januari 2009 sarat dengan pelbagai peristiwa terutama yang berkaitan dengan permasalahan disiplin. Para pelajar mula memberi respon terhadap penguatkuasaan beberapa peraturan baru yang sebelum ini tidak dipraktikkan. Pertamanya, Perhimpunan Pagi setiap hari yang baru dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah. Majlis perhimpunan ringkas setiap hari yang bermula seawal pukul 7.20 dan tamat pada 7.40 pagi mempunyai banyak signifikan yang menguntungkan. Prosedur catatan kehadiran pelajar akan menjadi lebih tersusun dan kemas. Para guru kelas akan datang ke perhimpunan untuk menandakan kehadiran pelajar. Pada masa yang sama pelajar yang tidak hadir sekolah pada hari semalamnya akan dipanggil untuk dikenalpasti. Cara ini akan dapat mengatasi masalah ponteng sekolah dan datang lambat ke sekolah. Gejala ponteng sekolah tanpa sebab merupakan perkara lumrah dan sukar dibendung. Hanya penguatkuasaan yang teliti sahaja akan dapat mengatasi masalah ponteng sekolah.

Selepas menanda kedatangan pelajar, para pelajar akan dibawa masuk ke kelas oleh guru masa pertama bagi meneruskan proses P&P. Kecaknaan sebegini rupa akan dapat memberi semangat baru kepada para pelajar. Walau bagaimanapun jika tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, program perhimpunan pelajar setiap hari ini akan hanya mendatangkan keburukan. Jadi, kejayaan program ini banyak terletak di bahu para guru. Jika para guru gagal memberi kerjasama yang jitu, pelajar akan menjadi lebih sukar untuk dikumpulkan.

No comments: