Sunday, August 16, 2009

MESYUARAT MAJLIS TINDAKAN DISIPLIN (MTD) KALI KE-3 2009 DAN KEMEROSOTAN DISIPLIN PELAJAR

Minggu lepas Rabu, 12 Ogos 2009, mesyuarat MTD kali ke-3 telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMTB. Mesyuarat berjalan seperti biasa dan membincangkan agenda yang khusus tentang perkembangan disiplin masa kini. Pengetua berucap dan meminta kerjasama guru untuk sama-sama membantu menyelesaikan masalah-masalah disiplin yang timbul.
70% masalah disiplin berpunca dari asrama dan hanya 30% dilakukan pelajar semasa sesi persekolahan. Masalah yang berkaiatan dengan ponteng semakin berleluasa. Kadar kehadiran pelajar pada hari Ahad merundum dan hal ini sangat membimbang. Beberapa langkah drastik telah diambil untuk mengatasi masalah ini. Pelajar-pelajar yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab akan dipanggil dan mereka yang tidak hadir ke asrama seperti mana yang dijadualkan terpaksa mengangkat ikrar AKUJANJI di hadapan ibu bapa masing-masing. Ibu bapa penjaga diminta hadir ke sekolah untuk menjamin anak-anak agar mereka dapat tinggal di asrama. Setakat ini telah banyak kali pertemuan ibu bapa dengan pihak sekolah dibuat untuk sama-sama berbincang mengatasi masalah yang timbul. Sambutan ibu bapa kadang kala membanggakan. Tetapi masih ada ibu bapa / penjaga yang langsung tidak menghiraukan jemputan pihak pengurusan.
Mesyuarat juga membincangkan kes rayuan pelajar untuk tinggal di asrama. Terdapat tiga rayuan daripada ibu bapa, hanya satu yang diterima. Dua lagi rayuan telah ditolak oleh majlis setelah berlaku perbahasan hangat. Kes rayuan yang ditolak ialah yang membabitkan kes penyalahgunaan dadah : pil kuda. Ahli-ahli majlis telah mengundi sebanyak dua kali. Kali pertama keputusan 14 : 8, 14 undian menolak manakala 8 menerima. Untuk kali kedua setelah berlaku perbahasan panjang lebar, majoriti ahli-ahli majlis bersepakat menolak permohonan rayuan untuk kembali tinggal di asrama.
Proses demokrasi dan semangat keadilan yang ditunjukkan melalui proses pengundian ini jarang-jarang dapat dilihat di sekolah-sekolah lain. Pengetua sebagai pemimpin organisasi sekolah walaupun mempunyai kuasa veto dalam membuat keputusan telah mengambil langkah empowerment ( penurunan kuasa ) yang sangat bijak apabila berlaku kes-kes disiplin yang rumit. Syabas diucapkan!

No comments: