Saturday, August 29, 2009

9 RAMADHAN 1430H...SEKOLAH DIBUKA SEMULA, SUASANA HAMBAR!

Ahad, 30 Ogos 2009 / 9 Ramadhan 1430H

Hari ini hari pertama sekolah dibuka setelah cuti seminggu. Sudah lapan hari Ramadhan berlalu. Macam biasalah kalau hari Ahad, ramai yang sengaja tak datang sekolah. Yang dekatpun asyik mencari alasan apatah lagi yang duduk jauh-jauh. Baru tadi terima sms dari Puan Wan Nor Khalidah..'only 4 out of 26 4ppu students came to school...' Beliau mengajar English di kelas tersebut. Memang bukan bulan puasa saja, bulan-bulan biasapun begitulah keadaan kelas 4 PPU. 4 PPU ialah salah satu daripada beberapa kelas yang menghadapi masalah ketidakhadiran yang tinggi. Tindakan yang diambil selama ini untuk mengatasi masalah pelajar selalu ponteng sekolah, nampaknya tidak begitu berkesan. MTD perlu memikirkan kaedah yang terbaik dan berkesan menangani masalah ponteng sekolah.
Majlis Perhimpunan pagi tadi dipenuhi dengan bacaan zikir Asma ul-Husna, bacaan surah Yasin dan tahlil untuk arwah waris guru yang meninggal dunia. Sebelum itu, Ustaz Rahimi telah menyampaikan tazkirah Ramadhan. Kemudian seperti biasa, Tuan Pengetua memberi beberapa taklimat kepada pelajar terutama yang berkaitan dengan akademik. Beliau juga melaporkan bahawa beberapa orang timbalan pengarah BPTV Kementerian Pelajaran akan berada di Negeri Kelantan dan Terengganu untuk membuat pemantauan di beberapa buah sekolah menengah teknik. Ada kemungkinan besar Sekolah Menengah Teknik Besut juga akan dilawati oleh rombongan ini. Untuk itu, semua guru dan pelajar diminta agar bersedia menerima kunjungan mereka.
PK HEM mengambil kesempatan untuk bercakap dengan semua pelajar tentang pengisian Ramadhan. Apa yang seharusnya pelajar lakukan sepanjang bulan Ramadhan. Akhirnya, PK 1 membuat pengumuman tentang peperiksaan percubaan SPM yang akan bermula Rabu, 2 September 2009 ini. Para pelajar diminta membuat persediaan rapi untuk mencipta kejayaan.
Perhimpunan tamat tepat jam 9.00 pagi

No comments: