Friday, September 12, 2008

Wajah Baru Aspura..

11 September 2008 / 11 Ramadhan 1429H

Hari ini masuk hari ketiga minggu kedua operasi 'membaikpulih' wajah baru asrama putera dijalankan bersama-sama MTD sebagai penganjur operasi dan pihak Jawatankuasa Bertindak Warden yang diketuai oleh Ketua Warden, En. Hamzah Ab. Rahman. Laporan diterima menyatakan bahawa terdapat perbincangan serius berlaku antara pihak penganjur, MTD dengan Ketua Kontraktor Kebersihan Sekolah, En Hadi berkenaan pelaksanaan pembersihan yang melibatkan bilik-bilik penginapan di semua blok asrama putera. Hasil perbincangan adalah positif dan MTD menunggu jadual pelaksanaan dan kaedah baru pembersihan bilik-bilik penginapan tersebut.
Tanggungjawab menjaga kebersihan di asrama sebenarnya bukan semata-mata terpikul oleh pekerja-pekerja kebersihan tetapi juga melibatkan komitmen sepenuhnya para penghuni asrama di bawah pengawasan warden dan penyelia asrama. Walau bagaimanapun, tanpa penjadualan tetap dan kaedah pembersihan terancang oleh pekerja-pekerja kebersihan, para pelajar tidak dapat menunjukkan kebertanggungjawaban mereka menjaga kebersihan bilik. Hal ini dijelaskan dengan terperinci oleh Ketua Warden sambil menyeru Ketua Kontraktor Kebersihan agar dapat bertindak dengan cara yang lebih profesional dan terancang. MTD sebagai penganjur operasi telah berjaya menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. MTD berkemungkinan besar akan membuat laporan terperinci tentang operasi ini kepada pihak pengurusan sekolah dan mencadangkan agar satu mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan secara serius langkah-langkah berkesan yang boleh diambil untuk mengatasi permasalahan yang berlaku.

No comments: