Monday, September 22, 2008

Tekad Baru, Nafas Perjuangan Menghadapi SPM 2008

22 September 2008 / 22 Ramadhan 1429 H

7.40 pagi, Hari ini semua pelajar Tingkatan 5 aliran Teknik dan Vokasional telah berhimpun di Dataran Bola Tampar sebelah Dewan Besar bagi memperbaharui tekad dan azam untuk menambahkan keyakinan, iltizam dan komitmen bagi menghadapi Peperiksaan SPM 2008. Lebih 70% pelajar hadir dan bersungguh-sungguh menyanyikan lagu Negaraku dan berdoa ke hadrat Ilahi agar diberi keberkatan sempena minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Idul Fitri. Menurut jurucakap Majlis Tindakan Disiplin (MTD), perhimpunan ini julung-julung kali diadakan pada bulan berkat penuh rahmat, Ramadhan AlMubarak dan akan diteruskan setiap hari sehinggalah ke hari peperiksaan kelak. Menurut Ketua Guru Disiplin, Hj. Mohd Affandi, acara perhimpunan pagi setiap hari seperti ini bukanlah perkara baru di daerah Besut ini. Banyak sekolah telah lama mengamalkan tradisi perhimpunan setiap pagi bagi pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar. Cuma, apa yang menarik di SMTB ialah setiap pelajar dikehendaki memperbaharui niat baik di dalam sanubari mereka bagi menghadapi pelajaran. Niat dan azam tidak semestinya dibuat pada awal tahun sahaja. Niat dan azam mesti diperbaharui setiap masa dan ketika agar kesungguhan untuk menghadapi peperiksaan akan benar-benar dirasai.

Syabas diucapkan kepada semua pelajar Tingkatan 5 SMTB. Semoga anda semua diberkati Allah SWT setiap ketika, mendapat hidayah dan petunjuk kebenaran. Amin

No comments: