Saturday, January 23, 2010

MENJELANG MINGGU KETIGA SESI PERSEKOLAHAN 2010...kita menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru tingkatan 4




Mohd. Zurkarni mengetuai barisan pengawas sesi 2010 membaca ikrar pengawas


Minggu pertama dan kedua bulan Januari 2010 telah berlalu. Selama dua minggu itu, kelendar sekolah sangat padat dengan perancangan dan penyelarasan pelbagai agenda pendidikan untuk memastikan proses pendidikan di SMTB berjalan dengan lancar dan berkesan. Deretan mesyuarat demi mesyuarat, pagi petang, siang dan malam tidak henti-henti semata-mata untuk memastikan segala perancangan yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan teratur. Minggu pertama, kita telah berjaya melancarkan Program Orientasi Pelajar-Pelajar Tingkatan 5 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jan. Pelbagai program untuk menyesuaikan diri pelajar dan menyediakan mereka dengan proses P&P. Pendedahan demi pendedahan dalam semua mata pelajaran telah diadakan bagi memantapkan proses pemahaman. Minggu kedua, 10 Januari, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas yang disempurnakan oleh SUPT. Haji Kamaruddin Zakaria, Ketua Polis daerah Besut. Majlis berjalan lancar dan meriah. Majlis diakhiri dengan ceramah oleh Tuan Haji Zakaria setelah bacaan ikrar yang diketuai oleh Muhamad Zurkarni Mat Jid, Ketua Pengawas sesi 2010. Program Bubur Assyura juga berjaya dijalankan oleh para guru dan kakitangan sekolah.


Tahun ini proses kemasukan dan pendaftaran pelajar-pelajar tingkatan 4 akan berlangsung lebih awal daripada tahun lepas. 25 Januari ialah tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak BPTV untuk semua sekolah teknik seluruh negara menerima kemasukan pelajar-pelajar baru tingkatan 4. Setelah proses penerimaan kemasukan ditutup 4 Januari lalu, kita mendapati masih terdapat ramai lagi para pelajar tingkatan 4 yang tidak berkesempatan untuk membuat pendaftaran secara online. Oleh hal yang demikian, pada minggu kedua, setelah mendapat mandat daripada Tuan Pengetua dan Jawatankuasa Pendaftaran dan Kemasukan Pelajar, pasukan 'outreach' sekolah yang diketuai oleh para kaunselor sekolah beberapa orang guru dari UPP telah keluar ke sekolah-sekolah yang berdekatan dan sekolah-sekolah yang telah membuat tempahan untuk menawarkan sejumlah pelajar yang tercicir daripada pendaftaran online. Walau bagaimanapun mengikut tuan pengetua, para pelajar tercicir pendaftaran ini hanya akan dipertimbangkan untuk kemasukan kedua (second intake) setelah para pelajar yang menerima tawaran kemasukan first intake diproses. PK HEM dan ahli-ahli jawatankuasa UPP yang diketuai oleh Tuan Haji Abd. Rahim Mat, En. Azman Zakaria dan En. Abd. Aziz Abd. Hamed bertungkus-lumus membuat perancangan dan penyelarasan data-data kemasukan. Dengan bantuan pakar komputer dan internet sekolah, En. Hazimi Mohd Zawawi, senarai pelajar tawaran pertama telah berjaya didownload terus dan diterbitkan. BPTV telah mengeluarkan senarai pelajar tingkatan 4 yang berjaya pada 16 Jan dan kita hanya ada masa beberapa hari sahaja untuk membuat proses penyelarasan data dan bahan mentah untuk dikirimkan kepada para pelajar yang berjaya. Sementara itu, kita juga telah berjaya mengendalikan proses temuduga kemasukan bagi para pelajar SKM yang berlangsung pada 18 Januari 2010. Seramai 180 surat tawaran telah dihantar dan pada hari temuduga, kehadiran para pelajar yang ingin belajar di aliran kemahiran sangat menggalakkan. Penyelaras SKM, En. Jailudin Ismail telah berjaya mengendalikan proses temuduga tersebut dengan jayanya. Para pelajar aliran kemahiran juga akan diterima masuk pada 25 Januari.


Sabtu, 23 Januari ialah hari persekolahan bagi menggantikan hari cuti Tahun Baru Cina. Majlis Tindakan Disiplin (MTD) yang diketuai oleh Penyelarasnya En. Che Zahari Bin Hamzah telah memohon kebenaran daripada PK HEM dan diluluskan oleh Tuan Pengetua untuk mengadakan Kursus Pemantapan Pengurusan Disiplin Sekolah bagi semua guru SMTB. Pada hari yang sama juga ketiga-tiga kaunselor sekolah, Puan Norliza, En. Mohd. Azhar dan Cik Nur Aisyah telah menjayakan Program Asas Kemahiran Belajar bagi semua pelajar tingkatan 5.

No comments: