Sunday, November 9, 2008

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR, MAJLIS MOTIVASI KEIBUBAPAAN & MAJLIS PENYERAHAN ILMU 2008


23 OKTOBER 2008, KHAMIS.
Sekolah Menengah Teknik Besut telah mengadakan 3 majlis serentak hari ini dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga yang amat menggalakkan. Majlis bermula pada pukul 12 tengah hari dengan pendaftaran ibu bapa dan jamuan Hari Raya. Ibu bapa kemudiannya bersolat fardhu zohor dan solat hajat sebelum bergerak ke Dewan Besar sekolah untuk mengikuti aturcara berikutnya.
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan Pengetua, Tn. Hj. Abdullah Zawawi Bin Yahya. Pengetua banyak menyentuh persoalan prestasi akademik dan peranan ibu bapa untuk sama-sama membantu pihak sekolah menjayakan proses peningkatan prestasi SPM sekolah. Penyampaian hadiah dan penghargaan kepada para pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
Sebelum penceramah motivasi tiba, para ibu bapa telah mendapat sedikit taklimat berkenaan situasi perkembangan disiplin semasa. Taklimat ini telah disampaikan oleh PK HEM. Tepat jam 3.30 petang, majlis ceramah motivasi keibubapaan bermula dengan penceramah terkenal Tn. Hj. Nik Muhamad Bin Nik Lib @ Raja Talib menyampaikan alunan motivasi bersemangat mengambil masa kira-kira 2 jam. Ceramah beliau berjaya memberi kesedaran dan keinsafan yang begitu menyayat hati. Sebagaimana majlis-majlis ceramah motivasi beliau, ceramah kali ini juga berjaya membawa suasana kepiluan dan keinsafan yang sangat tinggi dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Ramai pelajar tidak segan silu memeluk dan mencium ibu bapa masing-masing dan berjanji untuk berubah menjadi pelajar yang berjaya.
Majlis diakhiri dengan acara 'Penyerahan Ilmu' dan doa restu daripada para guru untuk pelajar-pelajar. Semua pelajar telah berbaris dan berjabat tangan dengan para guru dan memohon mengizinkan ilmu yang diajarkan oleh mereka.
Majlis berakhir sekitar jam 6.00 petang. Majlis tahun ini dianggap paling berjaya dan dapat memberi asas kesedaran yang amat tinggi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

No comments: