Wednesday, August 6, 2008


Imej yang dibawa remaja pada masa kini sering digambarkan sebagai golongan yang sangat gemar kepada perkara yang melalaikan dan tidak membawa kepada kebaikan jangka panjang. Ditambahkan pula dengan kewujudan keadaan persekitaran yang semakin rosak dan penipisan iman, golongan remaja terdorong untuk mencuba aksi-aksi dan adegan-adegan bejat yang berleluasa berlaku dalam kehidupan harian mahupun melalui media massa.
Kajian terbaru yang dijalankan oleh Universiti Cambridge yang diselia oleh Kesatuan Guru Kebangsaan (NUT) London mendapati sikap ibu bapa yang tidak sanggup berkata ‘tidak’ kepada anak menjadi punca utama golongan remaja berkelakuan negatif.
Ibu bapa ini dikatakan terlalu mengikut kehendak anak-anak remaja dan selalu menyebelahi mereka apabila pihak sekolah melaporkan kelakuan buruk anak-anak mereka. Mereka juga dikatakan tidak akan teragak-agak bertindak ganas dalam melindungi kepentingan anak-anak mereka ini.
Kelakuan dan sikap yang diambil ini menggambarkan bahawa ibu bapa pada masa kini dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan dan masalah krisis identiti yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di pejabat.
Corey (1986) menyatakan bahawa menerusi Teori Analisis Transaksi, sikap manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Hal ini berlaku seawal usia anak lagi dengan merakan secara langsung segala percakapan dan perbuatan yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.
Tidak dapat disangkal, faktor tumbesaran fizikal dan mental remaja wajib bermula dirumah kerana semenjak kecil remaja akan berada di bawah lindungan dan lingkungan keluarganya.
Sheikh Abu Hamid Al Ghazali ketika berhujah ketika berbincangakan perihal peranan ibu bapa dalam mendidik anak menegaskan, “ketahuilah bahawa anak merupakan amanat bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang bersih suci merupakan permata bernilai yang bersih dari tujahan pahat. Ia akan condong kepada apa yang diberikan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibu bapanya dan juga setipa guru dan pendidiknya di dunia dan akhirat.
“Tetapi, jika dibiasakan dengan kejahilan dan kejahatan dan dibiarkan sepertimana binatang, nescaya akan jahat dan binasalah ia. Dosanya akan ditanggung ibu bapanya dan para guru dan pendidiknya. Maka, hendaklah ia dipelihara dan dididik dengan akhlak yang baik, menjaganya daripada teman-teman yang jahat, tidak membiasakannya dengan kemewahan dan kesenangan sehingga ia menghabiskan umurnya untuk mencari kesenangan semata.”
Oleh hal yang demikian, pembentukan perkembangan mental, fizikal dan sosial mereka adalah di bawah kawalan ibu bapa dan tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku di dalam keluarga. Maka dengan itu, jika remaja berkelakuan negatif dan agresif, kemungkinan punca utamanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri seperti status ekonomi, kehidupan sosial ibu bapa sendiri yang bergelumang dengan kebejatan, ibu bapa lebih mementingkan urusan pekerjaan daripada urusan keluarga, keadaan rumah tangga yang tidak kukuh dan pegangan agama yang rapuh dalam keluarga.
Dalam proses pendidikan anak-anak, ibu bapa kadang-kala sering mengucapkan sesuatu perkataan, tidak sesuai dengan perbuatannya. Kesalahan ini amatlah besar kerana pada masa ini anak-anak mula belajar memahami sesuatu menerusi perbuatan dan percakapan induknya tetapi dalam beberapa hal, ibu bapa pula melakukan sesuatu perkara bertentangan dengan apa yang dinyatakan sebelum ini. Ini akan memberikan pengaruh negatif kepada perkembangan mental dan perilaku anak.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan,” (Surah Ash-shaff : 2-3).
Ada masanya juga ibu bapa tidak sepakat dalam menentukan cara-cara tertentu dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, anak sedang melakukan perbuatan tertentu di hadapan kedua ibu bapanya dan di atas berbuatannya itu, ibu memberikan pujian manakala bapa pula memberikan kutukan dan menyalahkan si anak atas perbuatannya itu. Situasi ini akan menjadikan anak keliru dan bingung yang mana benar dan salah di antara keduanya.
Ibu bapa juga tidak seharusnya menunjukkan kelemahan atau kegagalan mereka mendidik anak dengan baik di hadapan anak-anaknya kerana perlakuan ini hanya akan menerbitkan rasa seronok di dalam hati anak-anak dan akan menyebabkan anak-anak mengulangi perbuatan buruknya lagi.
Selain itu, ibu bapa secara sedar atau tidak, sering bertindak menyekang pergerakan dan kemampuan anak-anak dalam melakukan sesuatu terutamanya semasa aktiviti riadah. Sepatutnya ibu bapa faham dengan proses pertumbuhan anak-anak yang memerlukan pendedahan terhadap sekelilingnya. Kebebasan perlu diberikan asalkan kebebasan tersebut tidak membahayakan diri, kesihatan serta menyalahi hukum.
Kecanggihan teknologi maklumat dan media turut mempengaruhi pembentukan mental dan fizikal anak yang sedang melalui proses tumbesaran. Televisyen, radio, internet dan telefon bimbit mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak dan remaja secara terus dengan menerimanya tanpa memikirkan nilai yang dihidangkan.
Satu lagi lumrah ibu bapa moden pada masa kini adalah gemar menghantar anak-anak ke pusat-pusat asuhan atau mengambil seorang pengasuh untuk menggantikan ibu bapa yang sibuk bekerja. Perlu diingat, perkembangan emosi anak-anak diperingkat awal sangat memerlukan kasih sayang dan perhatian khusus daripada ibu bapa. Emosi anak yang berkembang tanpa kasih sayang yang cukup kelak akan melahirkan seorang individu yang akan bersikap keras terhadap masyarakat sekeliling.
Lumrah anak-anak yang sedang membesar, mereka tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan kebaikan. Ibu bapa yang baik akan menetapkan hukuman dan ganjaran yang setimpal dengan kesalahan kebaikan yang dilakukan anak-anak. Misalannya, jika kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan pertama, anak-anak akan ditegur dan diterangkan perihal kesalahan dan akibat yang akan berlaku daripada kesalahan tersebut. Begitu juga dengan kebaikan yang dilakukan.
Ibu bapa akan mengakibatkan emosi anak terganggu jika hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Ini akan mengakibatkan anak-anak bersikap dendam dan memberontak.
Kesimpulannya, mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara yang enteng. Kedua pihak ibu dan bapa harus terus menerus berusaha membentuk anak-anak yang berakhlak terpuji dan cemerlang. Langkah utama dalam pembentukan akhlak cemerlang ini adalah menerusi penerapan ilmu agama bermula sejak kecil lagi. Ini adalah bagi menjamin kekukuhan akhlak apabila menempuh tempoh alam remaja kelak. Walaupun mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak-anak mampu menepis dan menangkis pengaruh budaya kuning dan pengaruh rakan sebaya yang tidak baik.
Ibu bapa tidak harus menyalahkan pihak lain terutamanya kerajaan, masyarakat dan sekolah untuk membela diri apabila anak berkelakuan negatif dan tidak menjadi individu seperti yang diharapkan. Kesalahan mutlak harus dipikul ibu bapa sendiri terhadap segala perilaku anak-anak.

No comments: