Wednesday, August 6, 2008

FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN MASALAH SALAH LAKU DALAM KALANGAN PELAJAR

Mengikut kajian dan penyelidikan pakar-pakar sosiologi, masalah yang kerap kali menghantui para remaja sekolah ialah yang berhubungan dengan masalah emosi dan kebebasan. Hal ini akhirnya menjadi punca-punca besar kepada masalah pelanggaran disiplin sekolah. Kita sudah maklum bahawa isu pelanggaran disiplin merupakan isu hangat di seluruh negara sehingga pihak Kementerian Pelajaran telah menubuhkan beberapa jawatankuasa mengatasi masalah disiplin di peringkat kebangsaan. Perkara ini kelihatan begitu serius kerana sokongan data-data yang diperolehi dan kejadian-kejadian yang berlaku jelas menunjukkan prestasi disiplin yang jauh berada pada tahap kritikal.

Kita berpendapat bahawa masalah pelanggaran disiplin dan kebebasan sosial dalam kalangan remaja sekolah berpunca daripada banyak perkara. Kita bukan terlepas pandang. Malah, saban ketika kita menangani punca-punca tersebut. walau bagaimanapun, keadaannya masih tidak terkawal dan menunjukkan prestasi yang amat membimbangkan. Punca-punca yang berkaitan dengan pendidikan agama sering menjadi hujah kuat sesetengah pihak, manakala ramai juga berpendapat bahawa peranan dan fungsi sebenar ibu bapa telah menyimpang jauh. Tidak kurang pula yang terus seperti biasa menyalahkan golongan pendidik yang merupakan golongan paling dekat dengan pelajar selain ibu bapa. Mereka masih mempersoalkan kerja buat pendidik di sekolah sehingga sanggup mencabar kewibawaan para guru dalam mengendali dan menyelenggarakan pembentukan sahsiah peribadi para pelajar di sekolah.

Walau apapun alasan dan hujah yang kita utarakan, masalah pelanggaran disiplin tetap berlaku dengan arah yang tidak terkawal. Daripada kita menghabiskan masa mencari alasan dan punca, adalah lebih baik kita duduk semeja berbincang, bermuafakat, memerah idea dan minda, mencari kesepaduan fikiran dan kesepakatan dalam tindakan baik di peringkat mana sekalipun kita berada, untuk sekurang-kurangnya mengurangkan gejala disiplin dalam kalangan pelajar. Oleh hal yang demikian, saya mengambil inisiatif melalui laman ini untuk sama-sama dengan tuan-tuan berbincang secara terbuka tentang kaedah dan cara terbaik dan paling berkesan untuk menangani masalah yang berkaitan dengan salah laku dalam kalangan pelajar kita. Tidak rugi kita meluang masa dan memerah sedikit idea untuk laman ini jika hasilnya nanti dapat kita manfaat untuk para pelajar kita.

Untuk kali ini, saya kira kita perhalusi punca besar yang berkaitan dengan fungsi dan peranan ibu bapa sebagai 'pendidik awal'. Ibu bapa memainkan peranan yang besar mempengaruhi proses awal pembinaan dan pembentukan sahsiah keperibadian anak-anak. pakar-pakar psikologi menyatakan bahawa tahap awal pembentukan manusia akan mempengaruhi proses pembentukan mereka pada tahap-tahap berikutnya. Oleh hal yang demikian, apa yang berlaku dalam tahap awal ini memainkan peranan yang besar dalam proses penjanaan ciri-ciri keperibadian mulia kelak.

No comments: