Sunday, November 9, 2008

PERHIMPUNAN PAGI; WAJIB MULAI SESI 2009


Ahad, 2 November 2008

Mulai sesi pengajian 2009/2010, Sekolah Menengah Teknik Besut akan mewajibkan perhimpunan pagi setiap hari dari 7.25 - 7.40 bagi seluruh pelajar tingkatan 4 dan 5 aliran teknikal, vokasional dan SKM. Oleh hal yang demikian, semua pelajar dikehendaki berada di tapak perhimpunan pagi iaitu di kawasan gelanggang bola tampar sebelum 7.25 pagi. Latihan untuk perhimpunan ini telah dimulai oleh para pelajar tingkatan 5 sejak sebulan yang lalu. Mereka dikehendaki berhimpun setiap pagi untuk acara nyanyian lagu Negaraku, taklimat guru, ikrar pelajar dan doa sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelas 10 minit kemudian.
Dua minggu yang lepas, para pelajar tingkatan 4 juga telah diarahkan berhimpun secara rasmi di kawasan yang sama. Keadaan terkawal dan terdapat segelintir pelajar yang masih lagi tidak dapat menyesuaikan diri untuk hadir tepat pada waktunya. Walau bagaimanapun, keadaan ini akan menjadi bertambah baik apabila sesi persekolahan bermula tahun depan.
Sebelum ini, perhimpunan pelajar hanya dilaksanakan pada pagi Ahad yang dikenali sebagai Majlis Perhimpunan Mingguan dari jam 7.40 hingga 8.40 pagi. Pihak MTD mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan setiap pagi bagi mengatasi banyak perkara iaitu pendisiplinan waktu sampai awal ke sekolah, ketertiban dan penghormatan ketika bacaan doa, mengelak pelajar dari berfoya-foya tak tentu hala, bimbingan dan nasihat setiap hari dan pengurusan diri pelajar secara keseluruhan.

PK HEM baru; antara hasrat dan harapan...

Ahad, 26 Oktober 2008

PK HEM baru bagi Sekolah Menengah Teknik Besut hari ini telah dengan rasmi melangkah kaki masuk ke dalam bilik PK HEM di sebelah bilik guru bangunan pentadbiran. Beliau telah menyatakan hasrat dan harapan untuk membantu pihak pengurusan dan pentadbiran bagi melicinkan perjalanan hal ehwal pelajar. Beliau menambah, tanpa bantuan dan kesepakatan rakan-rakan guru dan staf, adalah mustahil untuk melicinkan pengurusan HEM yang sebanyak 16 cabang itu. Beliau secara rasmi telah berpindah dari tapak asal bilik pengurusan MTD, iaitu di tingkat 1 blok bangunan teknikal yang lebih dikenali sebagai Bilik Operasi MTD ke bangunan pentadbiran. Komitmen beliau lebih banyak diperlukan di bangunan pentadbiran untuk menguruskan segala hal yang bersangkutan dengan HEM. Beliau yang juga guru mata pelajaran Sejarah tingkatan 4 dan 5 juga dikehendaki mengosongkan meja guru di bilik guru blok teknikal. Tetapi oleh kerana hubungan baik yang telah lama terjalin dengan rakan-rakan guru di situ menyebabkan beliau tidak langsung memindahkan segala peralatan dan bahan-bahan pengajaran sejarahnya. Beliau meminta pihak pengurusan membenarkan beliau menghabiskan hari-hari terakhirnya sebagai guru mata pelajaran Sejarah sehingga tamat sesi persekolahan 2008. Menurut pihak pengurusan, PK HEM tidak akan mengajar mata pelajaran khusus mulai tahun depan.

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR, MAJLIS MOTIVASI KEIBUBAPAAN & MAJLIS PENYERAHAN ILMU 2008


23 OKTOBER 2008, KHAMIS.
Sekolah Menengah Teknik Besut telah mengadakan 3 majlis serentak hari ini dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga yang amat menggalakkan. Majlis bermula pada pukul 12 tengah hari dengan pendaftaran ibu bapa dan jamuan Hari Raya. Ibu bapa kemudiannya bersolat fardhu zohor dan solat hajat sebelum bergerak ke Dewan Besar sekolah untuk mengikuti aturcara berikutnya.
Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis dan diikuti oleh ucapan Pengetua, Tn. Hj. Abdullah Zawawi Bin Yahya. Pengetua banyak menyentuh persoalan prestasi akademik dan peranan ibu bapa untuk sama-sama membantu pihak sekolah menjayakan proses peningkatan prestasi SPM sekolah. Penyampaian hadiah dan penghargaan kepada para pelajar yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.
Sebelum penceramah motivasi tiba, para ibu bapa telah mendapat sedikit taklimat berkenaan situasi perkembangan disiplin semasa. Taklimat ini telah disampaikan oleh PK HEM. Tepat jam 3.30 petang, majlis ceramah motivasi keibubapaan bermula dengan penceramah terkenal Tn. Hj. Nik Muhamad Bin Nik Lib @ Raja Talib menyampaikan alunan motivasi bersemangat mengambil masa kira-kira 2 jam. Ceramah beliau berjaya memberi kesedaran dan keinsafan yang begitu menyayat hati. Sebagaimana majlis-majlis ceramah motivasi beliau, ceramah kali ini juga berjaya membawa suasana kepiluan dan keinsafan yang sangat tinggi dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Ramai pelajar tidak segan silu memeluk dan mencium ibu bapa masing-masing dan berjanji untuk berubah menjadi pelajar yang berjaya.
Majlis diakhiri dengan acara 'Penyerahan Ilmu' dan doa restu daripada para guru untuk pelajar-pelajar. Semua pelajar telah berbaris dan berjabat tangan dengan para guru dan memohon mengizinkan ilmu yang diajarkan oleh mereka.
Majlis berakhir sekitar jam 6.00 petang. Majlis tahun ini dianggap paling berjaya dan dapat memberi asas kesedaran yang amat tinggi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.