Monday, August 25, 2008

Kes Terbaru Selepas Cuti Pertengahan Penggal

Selasa, 26 Ogos 2008

Tiga orang pelajar sekolah ini telah ditangkap ponteng di lokasi Pantai Bukit Keluang, Besut kira-kira jam 10 pagi tadi. En. Wahab Ismail (Ketua Bidang Vokasional), En Jailuddin Ismail (Penyelaras SKM), En. Azman Zakaria (Guru Pengiring) dan En. MY Shukri Abdullah (Guru Tingkatan) yang mengiringi program Larian Keceriaan Pantai pelajar-pelajar SKM telah menangkap pelajar-pelajar tersebut yang sedang mandi dengan khusuknya. Mereka terdiri daripada:

1.Muhammad Nur Izzuren Bin Naimuddin - 4KFL
2.Mohd. Khairuddin Bin Awang - 4BB
3.Mohd. Hanif Bin Mohd. Zin - 4KFL

Pihak sekolah melalui Majlis Tindakan Disiplin telah menghubungi ibu bapa pelajar untuk membuat perbincangan terhadap hukuman yang akan dijatuhkan ke atas mereka. MTD juga memberi peringatan kepada semua pelajar agar mengikis segera sikap ponteng sekolah agar proses pembelajaran dapat berjalan lancar. Sekian dimaklumkan

Sunday, August 24, 2008

BARANG-BARANG RAMPASAN

Laporan daripada unit Operasi dan Banteras MTD.

Semua pelajar yang barang-barang rampasan mereka berada di dalam simpanan UNIT O&B akan diberi maklumat tentang pengambilan semula barang-barang tersebut pada satu tarikh yang akan ditetapkan. Mesyuarat MTD akan diadakan bagi membincangkan pengagihan semula barang-barang rampasan. Barang-barang rampasan seperti pakaian, alat-alat elektrik, bahan-bahan bacaan dan seumpamanya berkemungkinan besar akan diserahkan semula kepada para pelajar pada minggu terakhir persekolahan tahun ini. Manakala barang-barang rampasan seperti telefon bimbit dan segala peralatan yang berkaitan dengannya, pengagihan semula bergantung kepada keputusan mesyuarat akhir MTD yang akan diadakan pada bulan Oktober ini.

Para pelajar diminta agar sentiasa melihat maklumat terbaru berkenaan hal ini di papan-papan tanda MTD.
Sekian, harap maklum

IKRAR DAN JANJI PELAJAR TINGKATAN 5


Ahad, 24 Ogos 2008


Hari ini pelajar-pelajar tingkatan 5 aliran teknik dan vokasional telah memperbaharui ikrar dan janji mereka untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi peperiksaan SPM hujung tahun ini. Mereka kelihatan serius dan bersemangat apabila membaca ikrar yang diketuai oleh Ketua Pelajar. Sebelum itu, kaunselor sekolah, En. Azhar telah memberi suntikan motivasi kepada semua pelajar selama hampir 2 jam. Beliau banyak menyentuh persoalan persediaan pelajar untuk berhadapan dengan Peperiksaan Percubaan dalam masa yang terdekat ini. Ramai pelajar selalu tersilap langkah apabila lara dan leka sehingga ketibaan Peperiksaan Percubaan SPM seluruh negeri tidak disedari oleh mereka. En. Azhar juga menyelar sikap sesetengah pelajar yang masih 'tidur dengan nyenyaknya' dan langsung tidak membuat persiapan. Mereka ialah segelintir pelajar yang gagal sebelum berjuang. Sikap ini sewajarnya dikikis terus dari sanubari pelajar dan mereka disarankan agar berjuang habis-habisan untuk mengecapi kejayaan yang cemerlang.


Perkara yang positif ialah terdapat perubahan dari raut wajah sebilangan besar pelajar yang selama ini tidak memberi tumpuan terhadap perkembangan akademik. Mereka jelas nampak insaf dan bersemangat untuk melakukan perubahan. Syabas diucapkan kepada En. Azhar. Teruskan perjuangan anda. Kami bagi pihak MTD akan terus membantu Jabatan Kaunselor Sekolah untuk merealisasikan hasrat dan harapan semua pihak terutama ibu bapa pelajar yang ingin melihat kejayaan anak-anak mereka di sini.

Wednesday, August 6, 2008


Imej yang dibawa remaja pada masa kini sering digambarkan sebagai golongan yang sangat gemar kepada perkara yang melalaikan dan tidak membawa kepada kebaikan jangka panjang. Ditambahkan pula dengan kewujudan keadaan persekitaran yang semakin rosak dan penipisan iman, golongan remaja terdorong untuk mencuba aksi-aksi dan adegan-adegan bejat yang berleluasa berlaku dalam kehidupan harian mahupun melalui media massa.
Kajian terbaru yang dijalankan oleh Universiti Cambridge yang diselia oleh Kesatuan Guru Kebangsaan (NUT) London mendapati sikap ibu bapa yang tidak sanggup berkata ‘tidak’ kepada anak menjadi punca utama golongan remaja berkelakuan negatif.
Ibu bapa ini dikatakan terlalu mengikut kehendak anak-anak remaja dan selalu menyebelahi mereka apabila pihak sekolah melaporkan kelakuan buruk anak-anak mereka. Mereka juga dikatakan tidak akan teragak-agak bertindak ganas dalam melindungi kepentingan anak-anak mereka ini.
Kelakuan dan sikap yang diambil ini menggambarkan bahawa ibu bapa pada masa kini dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan dan masalah krisis identiti yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di pejabat.
Corey (1986) menyatakan bahawa menerusi Teori Analisis Transaksi, sikap manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Hal ini berlaku seawal usia anak lagi dengan merakan secara langsung segala percakapan dan perbuatan yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.
Tidak dapat disangkal, faktor tumbesaran fizikal dan mental remaja wajib bermula dirumah kerana semenjak kecil remaja akan berada di bawah lindungan dan lingkungan keluarganya.
Sheikh Abu Hamid Al Ghazali ketika berhujah ketika berbincangakan perihal peranan ibu bapa dalam mendidik anak menegaskan, “ketahuilah bahawa anak merupakan amanat bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang bersih suci merupakan permata bernilai yang bersih dari tujahan pahat. Ia akan condong kepada apa yang diberikan kepadanya. Jika dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, dia akan tumbuh dalam kebaikan dan berbahagialah kedua ibu bapanya dan juga setipa guru dan pendidiknya di dunia dan akhirat.
“Tetapi, jika dibiasakan dengan kejahilan dan kejahatan dan dibiarkan sepertimana binatang, nescaya akan jahat dan binasalah ia. Dosanya akan ditanggung ibu bapanya dan para guru dan pendidiknya. Maka, hendaklah ia dipelihara dan dididik dengan akhlak yang baik, menjaganya daripada teman-teman yang jahat, tidak membiasakannya dengan kemewahan dan kesenangan sehingga ia menghabiskan umurnya untuk mencari kesenangan semata.”
Oleh hal yang demikian, pembentukan perkembangan mental, fizikal dan sosial mereka adalah di bawah kawalan ibu bapa dan tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku di dalam keluarga. Maka dengan itu, jika remaja berkelakuan negatif dan agresif, kemungkinan punca utamanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri seperti status ekonomi, kehidupan sosial ibu bapa sendiri yang bergelumang dengan kebejatan, ibu bapa lebih mementingkan urusan pekerjaan daripada urusan keluarga, keadaan rumah tangga yang tidak kukuh dan pegangan agama yang rapuh dalam keluarga.
Dalam proses pendidikan anak-anak, ibu bapa kadang-kala sering mengucapkan sesuatu perkataan, tidak sesuai dengan perbuatannya. Kesalahan ini amatlah besar kerana pada masa ini anak-anak mula belajar memahami sesuatu menerusi perbuatan dan percakapan induknya tetapi dalam beberapa hal, ibu bapa pula melakukan sesuatu perkara bertentangan dengan apa yang dinyatakan sebelum ini. Ini akan memberikan pengaruh negatif kepada perkembangan mental dan perilaku anak.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan,” (Surah Ash-shaff : 2-3).
Ada masanya juga ibu bapa tidak sepakat dalam menentukan cara-cara tertentu dalam mendidik anak-anak. Sebagai contoh, anak sedang melakukan perbuatan tertentu di hadapan kedua ibu bapanya dan di atas berbuatannya itu, ibu memberikan pujian manakala bapa pula memberikan kutukan dan menyalahkan si anak atas perbuatannya itu. Situasi ini akan menjadikan anak keliru dan bingung yang mana benar dan salah di antara keduanya.
Ibu bapa juga tidak seharusnya menunjukkan kelemahan atau kegagalan mereka mendidik anak dengan baik di hadapan anak-anaknya kerana perlakuan ini hanya akan menerbitkan rasa seronok di dalam hati anak-anak dan akan menyebabkan anak-anak mengulangi perbuatan buruknya lagi.
Selain itu, ibu bapa secara sedar atau tidak, sering bertindak menyekang pergerakan dan kemampuan anak-anak dalam melakukan sesuatu terutamanya semasa aktiviti riadah. Sepatutnya ibu bapa faham dengan proses pertumbuhan anak-anak yang memerlukan pendedahan terhadap sekelilingnya. Kebebasan perlu diberikan asalkan kebebasan tersebut tidak membahayakan diri, kesihatan serta menyalahi hukum.
Kecanggihan teknologi maklumat dan media turut mempengaruhi pembentukan mental dan fizikal anak yang sedang melalui proses tumbesaran. Televisyen, radio, internet dan telefon bimbit mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak-anak dan remaja secara terus dengan menerimanya tanpa memikirkan nilai yang dihidangkan.
Satu lagi lumrah ibu bapa moden pada masa kini adalah gemar menghantar anak-anak ke pusat-pusat asuhan atau mengambil seorang pengasuh untuk menggantikan ibu bapa yang sibuk bekerja. Perlu diingat, perkembangan emosi anak-anak diperingkat awal sangat memerlukan kasih sayang dan perhatian khusus daripada ibu bapa. Emosi anak yang berkembang tanpa kasih sayang yang cukup kelak akan melahirkan seorang individu yang akan bersikap keras terhadap masyarakat sekeliling.
Lumrah anak-anak yang sedang membesar, mereka tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan kebaikan. Ibu bapa yang baik akan menetapkan hukuman dan ganjaran yang setimpal dengan kesalahan kebaikan yang dilakukan anak-anak. Misalannya, jika kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan pertama, anak-anak akan ditegur dan diterangkan perihal kesalahan dan akibat yang akan berlaku daripada kesalahan tersebut. Begitu juga dengan kebaikan yang dilakukan.
Ibu bapa akan mengakibatkan emosi anak terganggu jika hukuman yang dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Ini akan mengakibatkan anak-anak bersikap dendam dan memberontak.
Kesimpulannya, mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara yang enteng. Kedua pihak ibu dan bapa harus terus menerus berusaha membentuk anak-anak yang berakhlak terpuji dan cemerlang. Langkah utama dalam pembentukan akhlak cemerlang ini adalah menerusi penerapan ilmu agama bermula sejak kecil lagi. Ini adalah bagi menjamin kekukuhan akhlak apabila menempuh tempoh alam remaja kelak. Walaupun mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak-anak mampu menepis dan menangkis pengaruh budaya kuning dan pengaruh rakan sebaya yang tidak baik.
Ibu bapa tidak harus menyalahkan pihak lain terutamanya kerajaan, masyarakat dan sekolah untuk membela diri apabila anak berkelakuan negatif dan tidak menjadi individu seperti yang diharapkan. Kesalahan mutlak harus dipikul ibu bapa sendiri terhadap segala perilaku anak-anak.

Mengukur Ketepatan Peranan dan Fungsi Ibu bapa

Saya suka mengambil petikan Pengarah Mindvision Training & Services, En. Mohd. Haris b. Hairun Paezi ( dengan izin )

Peranan Ibubapa Dalam Mendidik
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Beberapa minggu lalu saya berkesempatan ke Melaka untuk menerima undangan ceramah bagi Program Pencegahan Penagihan Semula, Agensi Antidadah Kebangsaan. Saya diminta memberi ceramah bertajuk Peranan Keluarga Dalam Meneruskan Pemantapan Kepulihan Diri Sepanjang Hayat.
Program ini dilaksanakan bagi memberi pengetahuan kepada keluarga dan masyarakat tentang kepentingan pencegahan penagihan semula. Keluarga dan masyarakt merupakan agen penting yang dapat membantu Insan Baru ( Nama yang saya gunakan bagi mengantikan perkataan Bekas Penagih ) dalam kepulihan diri sepanjang hayat.
Justeru itu penglibatan keluarga amatlah diharapkan dalam program sebegini. Amat dukacita sekali apabila bilangan ibu bapa Insan Baru yang hadir pada hari tersebut sangat sedikit sekali. Namun saya amat berbangga pula dengan penglibatan anggota masyarakat khususnya Anggota RELA dan pertubuhan belia yang datang ke program tersebut.
Maka saya terpaksa menukar tajuk ceramah kepada Peranan Keluarga dan Masyarakat Dalam Meneruskan Pemantapan Kepulihan Diri Sepanjang Hayat.
Apa yang ingin saya tekankan disini ialah mentaliti ibubapa sekarang yang terlalu bersifat simplistik dan tidak mahu melibatkan diri secara langsung dalam perkembangan sahsiah mahupun akademik anak-anak mereka. Adalah ibubapa sekarang terlalu sibuk hinggakan urusan atau tanggunjawab utama mendidik anak-anak diabaikan ?
Peranan ibubapa amatlah diharapkan untuk membentuk generasi muda sekarang yang terdedah kepada gejala negatif luar kawal yang mana jika tidak dicegah akan mendatangkan kemudaratan yang serius kepada mereka dan institusi keluarga.
Jika dilihat kepada masalah sosial yang berlaku dikalangan generasi muda sekarang, kebanyakannya adalah disebabkan oleh kelonggaran ibubapa dalam mengawal tingkahlaku serta perhubungan anak-anak mereka. Memanglah banyak faktor yang mendorong kepada permasalahan ini tetapi ini semua dapat dikawal jika ibubapa mempunyai pengetahuan dalam kaedah mendidik dan mengawal tingkahlaku anak-anak.
Kursus dan bengkel keibubapaan banyak dianjurkan diluar sana, luangkan sedikit masa untuk menghadirkan diri dan timba ilmu pengetahuan baru tentang kaedah pendidikan anak-anak zaman sekarang. Jangan sibuk menimba maklumat berkaitan politik dan belajar cara nak buat duit sahaja.Pendidikan anak-anak juga penting kerana apabila mati kelak, hanya doa anak soleh yang dapat membantu, bukannya doa dari cucu, ibubapa, sahabat dll.
Saya mencadangkan ibubapa diluar sana membaca buku terbitan IKIM berjudul PERANAN IBUBAPA DALAM PEMBENTUKAN SAHSIAH ANAK-ANAK ; Siti Fatimah Abd Rahman. Buku ini mengandungi topik-topik yang berkaitan dengan keibubapaan seperti :
Ibu bapa sebagai penentu sahsiah anak-anak
Tahap perkembangan anak-anak serta keperluan mereka
Bagaimana ibubapa dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam perkembangan sahsiah anak-anak
Pendekatan bijak menangani anak-anak bermasalah
Sabda Rasulullah SAW
" Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibubapalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi. "

Mohd Haris b. Hairun Paezi
22 Mei 2008

FAKTOR-FAKTOR PENINGKATAN MASALAH SALAH LAKU DALAM KALANGAN PELAJAR

Mengikut kajian dan penyelidikan pakar-pakar sosiologi, masalah yang kerap kali menghantui para remaja sekolah ialah yang berhubungan dengan masalah emosi dan kebebasan. Hal ini akhirnya menjadi punca-punca besar kepada masalah pelanggaran disiplin sekolah. Kita sudah maklum bahawa isu pelanggaran disiplin merupakan isu hangat di seluruh negara sehingga pihak Kementerian Pelajaran telah menubuhkan beberapa jawatankuasa mengatasi masalah disiplin di peringkat kebangsaan. Perkara ini kelihatan begitu serius kerana sokongan data-data yang diperolehi dan kejadian-kejadian yang berlaku jelas menunjukkan prestasi disiplin yang jauh berada pada tahap kritikal.

Kita berpendapat bahawa masalah pelanggaran disiplin dan kebebasan sosial dalam kalangan remaja sekolah berpunca daripada banyak perkara. Kita bukan terlepas pandang. Malah, saban ketika kita menangani punca-punca tersebut. walau bagaimanapun, keadaannya masih tidak terkawal dan menunjukkan prestasi yang amat membimbangkan. Punca-punca yang berkaitan dengan pendidikan agama sering menjadi hujah kuat sesetengah pihak, manakala ramai juga berpendapat bahawa peranan dan fungsi sebenar ibu bapa telah menyimpang jauh. Tidak kurang pula yang terus seperti biasa menyalahkan golongan pendidik yang merupakan golongan paling dekat dengan pelajar selain ibu bapa. Mereka masih mempersoalkan kerja buat pendidik di sekolah sehingga sanggup mencabar kewibawaan para guru dalam mengendali dan menyelenggarakan pembentukan sahsiah peribadi para pelajar di sekolah.

Walau apapun alasan dan hujah yang kita utarakan, masalah pelanggaran disiplin tetap berlaku dengan arah yang tidak terkawal. Daripada kita menghabiskan masa mencari alasan dan punca, adalah lebih baik kita duduk semeja berbincang, bermuafakat, memerah idea dan minda, mencari kesepaduan fikiran dan kesepakatan dalam tindakan baik di peringkat mana sekalipun kita berada, untuk sekurang-kurangnya mengurangkan gejala disiplin dalam kalangan pelajar. Oleh hal yang demikian, saya mengambil inisiatif melalui laman ini untuk sama-sama dengan tuan-tuan berbincang secara terbuka tentang kaedah dan cara terbaik dan paling berkesan untuk menangani masalah yang berkaitan dengan salah laku dalam kalangan pelajar kita. Tidak rugi kita meluang masa dan memerah sedikit idea untuk laman ini jika hasilnya nanti dapat kita manfaat untuk para pelajar kita.

Untuk kali ini, saya kira kita perhalusi punca besar yang berkaitan dengan fungsi dan peranan ibu bapa sebagai 'pendidik awal'. Ibu bapa memainkan peranan yang besar mempengaruhi proses awal pembinaan dan pembentukan sahsiah keperibadian anak-anak. pakar-pakar psikologi menyatakan bahawa tahap awal pembentukan manusia akan mempengaruhi proses pembentukan mereka pada tahap-tahap berikutnya. Oleh hal yang demikian, apa yang berlaku dalam tahap awal ini memainkan peranan yang besar dalam proses penjanaan ciri-ciri keperibadian mulia kelak.